Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong (Sumber Getaran)
Pakar bahasa, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong menyarankan kepada pencipta lagu, penulis lirik dan komposer agar menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika berkarya tanpa mencampuradukkan bahasa lain sebagai usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan itu.
Memetik laporan Getaran, Teo turut berpendapat adalah tidak wajar sekiranya golongan penggiat seni ketika ini menganggap kombinasi dua bahasa dalam satu lagu adalah relevan atas alasan mahu membawa produk mereka menembusi pasaran antarabangsa.
"Sepatutnya lirik kena sepenuhnya bahasa Melayu tetapi kadang-kadang kita faham juga dimasukkan satu atau dua patah perkataan bahasa Inggeris. Bagaimanapun, perlu ada sebabnya kerana kalau kita tengok lagu P Ramlee pun ada gunakan bahasa lain.
"Bukan tak boleh namun perlu digunakan hanya sebagai gurauan, hiburan atau ajukan agar ia lebih dramatik dan akan rasa 'hidup', itu kita faham. Tetapi, kita tak mahu perkataan bahasa Inggeris dimasukkan sebagai unsur asas," katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Teo berkata demikian ketika diminta mengulas situasi lagu Melayu yang sejak kebelakangan ini semakin banyak dihasilkan dengan lirik campiran bahasa lain.
Penghasilan karya dwi-bahasa dalam lagu dendangan juga mencetuskan kerisauan pengkaji linguistik.
Lebih membimbangkan apabila adapa pencipta lagu terutama dalam kalangan komposer muda semakin cenderung mencampuradukkan bahasa dalam lirik atas dasar kebebasan berkarya selain memenuhi permintaan atau pasaran semasa.
Golongan pejuang bahasa kebangsaan bimbang andai situasi itu tidak dibendung, ia akan menjadi budaya atau ikutan yang akhirnya akan mencerminkan rasa kurang yakin artis tempatan terhadap penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh.
Teo turut menegaskan penggunaan bahasa kebangsaan penyampai radio tempatan yang mengemudikan slot bahasa Melayu juga dilihat masih belum mencapai tahap profesional.
Ilmuan itu berpendapat penyampai raiod juga perlu melatih diri menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya serta elakkan daripada menggunakan campuran bahasa Inggeris ketika ke udara. -CARI
Konti radio Hot FM (Gambar hiasan)
|