[size=0.8]Julai 9, 2022 @ 5:16pm
KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang dilaporkan lancar bagi laluan menghala ke utara dan timur tanah air setakat 10.30 malam ini, susulan warga kota telah pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha, esok.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagaimanapun berkata trafik sedikit sesak di kawasan Simpang Ampat-Ayer Keroh Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan "Trafik perlahan sepanjang 3.9 kilometer. Sedikit kesesakan sepanjang 300 meter juga dilapor berlaku di Plaza Tol Karak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan," katanya ketika dihubungi BERNAMA, malam ini.
Sementara itu, pergerakan kenderaan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), sedikit perlahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ).
LLM juga berkata tiada penambahan ketara bilangan kenderaan setakat ini dan aliran trafik dijangka kekal pada pergerakan sama sehingga tengah malam ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini melaporkan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan berkenaan bermula kelmarin (7 Julai) hingga 12 Julai ini.
Sementara pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu bermula semalam hingga 11 Julai ini.