KOTA BHARU: Dua pengasas produk wanita antara enam individu ditahan selepas menyerang seorang peniaga di Jalan Padang Garong, di sini, awal pagi semalam.
Semua enam individu berusia 20 hingga 45 tahun ditahan polis beberapa jam selepas dikatakan menyerang peniaga wanita berusia 19 tahun dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata selain dua pengasas produk itu, turut ditahan suami masing-masing serta dua rakan mereka yang terbabit dalam kejadian yang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Mengulas kejadian itu, beliau berkata ketika kejadian mangsa yang berada di premis perniagaan miliknya didatangi enam individu termasuk tiga wanita menaiki dua kenderaan yang kemudian menyerang serta memukulnya.
Katanya, bapa mangsa yang berada di lokasi dan cuba melindungi anaknya itu turut diserang serta dimaki hamun sekumpulan suspek berkenaan.
"Berdasarkan keterangan saksi dan beberapa rakaman CCTV, polis setakat ini menahan tiga lelaki dan tiga wanita yang semuanya adalah peniaga berkaitan produk kecantikan.
"Hasil semakan rekod ke atas semua enam individu terbabit mendapati seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan tiga wanita yang ditahan dalam kes itu dibebaskan dengan jamin polis pada semalam dan hari ini.
Sementara baki tiga yang lain, katanya ditahan reman sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 dan 323 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan mendatangkan kecederaan.