Gara-gara enggan membiarkan rumah didiami bekas isteri walaupun tapak tanah adalah milik wanita itu, seorang lelaki merobohkan kediaman berharga 500 juta rupiah (RM147,793) selepas mereka sah bercerai.
Menerusi paparan video yang tular di media sosial, kelihatan beberapa jentera berat sedang merobohkan rumah tersebut.
Menurut TribunNews, bekas isteri Suaib menumpang di rumah abangnya selepas semua barang di dalam rumah itu dikeluarkan, manakala lelaki berkenaan tinggal bersama ibu bapanya.
 Jentera berat yang digunakan untuk merobohkan rumah milik penduduk di Pulau Madura, Jawa Utara selepas bercerai dengan isterinya. - Kompas
Bapa saudara Suaib, Abdul Hannan berkata, sebelum aktiviti meroboh dijalankan, sudah beberapa kali perbincangan dilakukan antara Suaib dan bekas isterinya.
Pertemuan itu bahkan dipantau oleh Mahkamah Agama Pamekasan dan wakil kedua-dua keluarga berkenaan.
Namun, ia tidak berjaya mencapai kata sepakat apabila Suaib berkeras untuk merobohkan rumah tersebut.
Abdul Hannan juga ada menasihatkan supaya rumah itu diserahkan kepada anak-anak mereka, namun tidak diendahkan.
Difahamkan, perobohan itu dibuat berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Sumber: Kosmo |