KABUL: ‘Ramai yang mahu melakukan korban demi mendapat keredaan dan pahala dari Allah SWT, namun ramai juga di antara kami yang tidak mampu kerana harga haiwan ternakan yang semakin mahal’.
Itu adalah luahan daripada seorang peniaga haiwan ternakan, Mohammad Nadir di sebuah pasar di Mazar-e-Sharif di utara Afghanistan.
Katanya, berbeza pada tahun lalu apabila dia berpeluang menjual 40 hingga 50 ekor lembu dan kambing.
“Namun, pada tahun ini, saya hanya dapat menjual dua haiwan ternakan.
“Ketika ini, dapat membeli makanan harian sudah cukup bersyukur, malah ada di antara kami terpaksa menahan lapar selama beberapa hari,” katanya.
Di kem pelarian di al-Shati di Semenanjung Gaza, sekumpulan kanak-kanak beratur untuk mendapatkan bekalan daging korban.
Menurut para peniaga haiwan ternakan di sini, harga kambing biri-biri meningkat mendadak sejak beberapa minggu lalu sebelum Hari Raya Aidiladha.
“Tidak ramai yang mahu dan mampu beli haiwan untuk dikorbankan sekarang.
“Bukan sahaja permintaan terhadap haiwan ternakan menurun, penduduk juga tidak mempu membeli barangan lain dan mereka menggunakan duit untuk perkara penting sahaja,” ujar penjual haiwan ternakan, Abu Mustafa.
Dalam pada itu di Tripoli, pandemik Covid-19 yang menyaksikan pergerakan mereka terbatas sejak dua tahun lalu tidak menghalang mereka meraikan Aidiladha secara sederhana.
Namun, seperti di negara Asia Barat yang lain, masyarakat Libya turut mengeluh tidak mampu untuk melakukan ibadah korban tahun ini susulan harga haiwan ternakan yang disifatkan terlalu mahal.
“Jujurnya, harga yang ditawarkan tidak masuk akal kerana terlalu mahal, tapi hal itu juga disebabkan kenaikan kos hidup ketika inni.
“Tiada apa yang mampu kami lakukan selain menyambut Aidiladha dengan seadanya, ini pun kami sudah bersyukur,” kata Sabri al-Hadi.