SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan pihak berkuasa
Singapura kelmarin selepas dia didakwa mengancam melakukan keganasan terhadap Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Menurut polis, mereka menerima laporan pada pukul 3.10 petang berhubung ancaman terhadap perdana menteri.
Ancaman itu ditemukan dalam bahagian komen laman Facebook
Channel News Asia mengenai insiden tembakan yang mengorbankan bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe.
Polis kemudiannya melakukan siasatan dan berjaya mengenal pasti identiti suspek.
Lelaki itu ditahan dalam tempoh lima jam selepas laporan dibuat, selain polis merampas komputer riba, tablet dan empat telefon bimbit.
Polis memaklumkan, siasatan masih berlangsung.
“Polis tidak memberi muka kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keganasan di republik ini,” jelas pihak berkuasa.
Mana-mana pihak yang didapati sengaja membuat komunikasi menerusi rekod elektronik yang mengandungi hasutan keganasan boleh dipenjara selama lima tahun dan didenda.