Menurut DOSM, pertambahan penduduk itu akan merangsang peningkatan pengeluaran makanan dan perubahan diet turut menjadi faktor yang mempengaruhi jaminan bekalan makanan.
“Antara cabaran yang harus ditangani pada masa ini adalah keseimbangan antara keperluan jaminan bekalan makanan dan jumlah keluasan kawasan pertanian yang terhad serta kesan dari perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, DOSM memaklumkan, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kepadatan penduduk tertinggi berbanding negeri lain-lain.
Katanya, ini kerana kedua-dua wilayah itu masing-masing merekodkan 8,157 dan 2,215 orang perkilometer persegi berbanding Malaysia yang cuma mencatatkan 98 orang perkilometer persegi.
“Penduduk Malaysia mencecah 32.4 juta pada tahun 2020 berbanding 7.8 bilion di peringkat dunia.
“Penduduk wanita mewakili 47.7 peratus di Malaysia. Pemerkasaan wanita penting bagi menggalakkan penglibatan mereka dalam pembentukan masa depan dan pembangunan sosial serta ekonomi negara.
“Kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita adalah matlamat kelima yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). Malaysia serius dalam memperkasa wanita dalam sektor pekerjaan menerusi sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam peringkat membuat keputusan baik di sektor kerajaan dan swasta,” ujar kenyataan itu. –
UTUSAN