|
Pulau Pinang tertinggi terima dos penggalak
Gambar hiasan
Nibong Tebal: Lebih 1.08 juta penduduk di Pulau Pinang atau 60.9 peratus sudah menerima suntikan dos penggalak Covid-19, setakat semalam.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, prestasi pengambilan dos penggalak vaksin di negeri itu masih tinggi berbanding negeri lain.
Katanya, negeri itu juga merekodkan penerima dos pertama dan kedua tertinggi selepas Lembah Klang.
"Ini menunjukkan rakyat negeri ini sedar mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 berserta dos penggalak bagi melindungi diri mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Nibong Tebal Arena, di sini hari ini.
Chow turut menyeru individu yang masih belum mengambil dos penggalak agar berbuat demikian, khususnya warga emas yang mempunyai sejarah penyakit.
"Golongan warga emas yang mempunyai sejarah penyakit juga digalakkan untuk menerima suntikan keempat selari dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Jika tidak perlu sekurang-kurangnya dapatkan suntikan ketiga," katanya mengulas penerimaan rakyat Pulau Pinang terhadap suntikan vaksin dos penggalak Covid-19.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam menasihat kira-kira tujuh juta rakyat Malaysia yang masih belum mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 untuk segera berbuat demikian berikutan lonjakan kes baharu Covid-19 ketika ini.
Beliau dilapor berkata, walaupun dos penggalak itu tidak diwajibkan, pengambilannya akan dapat memastikan perlindungan lebih baik terhadap virus berbahaya.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erima-dos-penggalak
|
|