|
Petugas kesihatan memberi suntikan vaksinasi Covid-19 kepada seorang warga emas di sebuah klinik di Stockholm pada 2 Mac 2021. – AFP
Eropah saran pengambilan dos penggalak kedua Covid-19
STOCKHOLM, SWEDEN – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) menyarankan pengambilan dos penggalak kedua Covid-19 untuk semua penduduk berusia lebih 60 tahun serta individu yang menghidap penyakit kronik ekoran peningkatan jangkitan dan kemasukan ke hospital di seluruh benua berkenaan, lapor laman berita Wion News semalam.
Sejak April lalu, cuma individu yang mudah terdedah dan warga emas dinasihatkan untuk mendapatkan dos penggalak kedua.
Saranan terbaharu ini dijangka memudahkan kerajaan untuk mempercepatkan program vaksinasi di negara masing-masing.
“Buat masa ini, kami sedang memantau kenaikan kadar kes Covid-19 dan trend meningkat bagi kemasukan ke hospital serta unit rawatan rapi (ICU) di beberapa negara.
“Ia sebahagian besarnya didorong oleh subvarian BA.5 bagi varian Omicron,” kata Pengarah ECDC, Andrea Ammon sambil menambah, pemberian dos penggalak kedua kepada warga emas dapat mencegah angka kemasukan ke hospital dan kematian.
Agensi itu bagaimanapun berkata, buat masa ini, tiada bukti meyakinkan bagi menyaran pemberian dos penggalak kedua kepada individu berusia bawah 60 tahun yang tidak mempunyai risiko bagi jangkitan teruk.
Meskipun virus Covid-19 telah bermutasi, vaksinasi sedia ada masih menawarkan perlindungan mencukupi bagi mencegah kemasukan ke hospital dan kematian. – Agensi
Sumber:https://www.kosmo.com.my/2022/07 ... lak-kedua-covid-19/
|
|