BERLIN: Keputusan Jerman mengaktifkan semula loji arang batu dan kuasa pembakaran minyak, bagi mengatasi isu kekurangan tenaga akibat perang di Ukraine, hanyalah langkah sementara.
Canselor Jerman, Olaf Scholz, berkata negara itu kesal atas keputusan mengaktifkan semula 16 loji kuasa bahan api fosil dan melanjutkan kebenaran operasi bagi 11 lagi loji, akibat kebimbangan terhadap pemotongan berterusan bekalan gas asli dari Russia.
"Akibat keganasan serangan Russia terhadap Ukraine, kami kini terpaksa menggunakan beberapa loji kuasa buat sementara.
"Ia sesuatu yang pahit untuk ditelan, namun ia hanya untuk jangka pendek," katanya dalam mesej video, seperti laporan Euro News hari ini.
Scholz menegaskan, Jerman kekal komited untuk menghentikan pelepasan gas rumah hijau menjelang 2045, dan memaklumkan beberapa langkah sudah diluluskan Parlimen Jerman untuk melonjakkan pengeluaran tenaga boleh diperbaharu.
Namun, pencinta alam sekitar berpandangan kerajaan Jerman perlu melakukan lebih daripada itu, termasuk menguatkuasakan had laju am dan mengawal penerbangan domestik untuk penjimatan minyak.
Baru-baru ini, pejuang isu iklim bertindak menyekat beberapa laluan utama di dalam dan sekitar Berlin sebagai protes terhadap rancangan projek minyak dan gas baharu di Laut Utara.
Sebelum ini, Scholz dan Menteri Tenaga Jerman, Robert Habeck, menolak kemungkinan melanjutkan tempoh operasi tiga loji kuasa nuklear negara itu melebihi tahun ini, kerana ia tidak menyelesaikan isu keperluan tenaga di Jerman. - AGENSI
Loji kuasa nuklear yang terakhir akan ditutup di Gundremmingen, Jerman. - Foto REUTERS
https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2022/07/977098/jerman-aktifkan-semula-loji-arang-batu