COLOMBO: Hari demi hari, semakin ramai penduduk Sri Lanka beratur di pejabat imigresen untuk mendapatkan pasport bagi meninggalkan negara dibelenggu krisis ekonomi itu.
Setiap hari, sekitar 3,000 penduduk menyerahkan borang bersama AS$42 (RM190) untuk mendapatkan dokumen perjalanan dan pejabat imigresen kini beroperasi 24 jam, enam hari seminggu, namun masih ramai yang perlu beratur.
Ada yang berbaris tanpa makanan dan minuman kerana bimbang kehilangan giliran, meskipun terpaksa menunggu dalam cuaca panas lembap tropika, ketika pegawai imigresen bertungkus lumus meluluskan dokumen mereka.
Menurut seorang pegawai imigresen yang enggan dikenali, kerja mereka sekarang amat penat dan tiada seorang pun yang pulang ke rumah.
“Penting untuk kami mengeluarkan sebanyak mungkin pasport supaya orang ramai boleh bergerak dan mengirim wang kembali ke Sri Lanka, ia akan membantu negara ini,” katanya.
Pandemik Covid-19 turut mencetuskan krisis pertukaran matawang asing, dengan pengkritik mendakwa ia diburukkan lagi dengan salah tadbir urus kerajaan, menyebabkan Sri Lanka tidak mampu mengimport minyak, ubat dan barangan keperluan lain.
Jun lalu, inflasi Sri Lanka berada pada kadar 54.6 peratus dan negara itu tidak lagi mampu membayar hutangnya berjumlah AS$51 bilion (RM227 bilion).
Kiriman wang luar negara kekal sebagai tulang belakang ekonomi dengan lebih 10 peratus daripada 22 juta penduduknya bekerja di luar negara, terutama di negara Teluk.
Setakat ini, jumlah pasport yang dikeluarkan jabatan imigresen tahun ini sudah melebihi jumlah keseluruhan tahun lalu, dengan kadar pengeluaran 50,000 pasport sebulan melonjak ke sekitar 122,000 sebulan pada Jun lalu.
Kebanyakan pemohon pasport pula menempuhi perjalanan yang jauh kerana datang dari kawasan kampung menaiki bas yang padat dengan penumpang. – AFP