Gambar hiasan
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta pada tahun lalu.
Kes yang direkodkan itu antara lain membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.
Menerusi laporan Bernama, untuk rekod, kira-kira 13,000 jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019 namun tidak memberikan angka untuk 2020.
Datuk Abdul Halim Abdul Rahman
"Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) .
"Oleh itu, dalam usaha membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi, kita perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya," katanya.
Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.
Keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.
Gambar hiasan
"Adalah penting bagi pemilik atau penghuni sasaran untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga selain diberi kawalan keselamatan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dalam instalasi itu sendiri.
"Ketika kita bergerak ke hadapan serta hidup dengan teknologi dengan bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital," katanya.
Keselamatan siber yang kukuh juga penting ketika Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana era itu bergantung sepenuhnya pada teknologi digital dan sebarang isu membabitkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat. - CARI
|