|
5 warga Eropah dibicarakan di wilayah dikuasai pemisah Russia
Anggota tentera Ukraine berkumpul di barisan hadapan di Donetsk bagi menghadapi kemaraan tentera Russia. - Foto AFP
MOSCOW: Sebuah mahkamah ditadbir puak pemisah pro-Russia yang disokong Kremlin membicarakan lima warga Eropah Isnin lalu di Donetsk, lapor media Russia.
Mereka adalah Mathias Gustafsson dari Sweden, Vjekoslav Prebeg (Croatia) dan warga Britain, John Harding, Andrew Hill serta Dylan Healy, yang kesemuanya mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjadi askar upahan, menurut akhbar Russia.
Kesemua mereka mungkin menghadapi hukuman mati di bawah undang-undang digubal sendiri oleh Republik Rakyat Donetsk, yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada Oktober ini, lapor media Russia.
Harding, Prebeg dan Gustafsson ditahan di bandar pelabuhan Ukraine, Mariupol dan mungkin dijatuhi hukuman mati kerana dituduh cuba 'merampas kuasa guna kekerasan' dan 'mengambil bahagian dalam konflik bersenjata sebagai askar upahan, lapor agensi berita RIA Novosti.
Hill menghadapi pertuduhan menjadi askar upahan manakala Healy dibicarakan kerana mengambil bahagian dalam proses merekrut askar upahan untuk ke Ukraine.
Pada 9 Jun lalu, Mahkamah Agung di Republik Rakyat Donetsk itu menjatuhkan hukuman mati terhadap dua warga Britain dan seorang dari Maghribi atas kesalahan menjadi askar upahan, selepas ditahan pasukan pro-Russia di pusat perindustrian Ukraine di timur.
Ketiga-tiga mereka sudah mengemukakan rayuan. Russia memperkenalkan moratorium terhadap hukuman mati sejak 1997 tetapi bidang kuasa itu tidak merangkumi wilayah dikuasai puak pemisah. - AFP
Sumber:https://www.bharian.com.my/dunia ... asai-pemisah-russia
|
|