Georgetown: Parlimen Batu Kawan, Permatang Pauh di daerah Seberang Perai dan Balik Pulau di daerah Barat Daya antara yang dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lokasi itu dikenal pasti berdasarkan beberapa insiden yang pernah berlaku pada PRU-14 yang lalu.
"Tetapi kita belum menjangka atau mendapat risikan akan berlaku apa-apa (insiden) pada masa ini.
"Kita akan letakkan keutamaan di lokasi itu sekiranya dapat maklumat, namun pada masa ini kita belum terima apa-apa (maklumat) dan tidak mahu mengulang kesilapan sama," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, pada pilihan raya lalu, terdapat insiden pelbagai insiden seperti kereta pasukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditahan.
Katanya, PDRM dengan kerjasama Bukit Aman juga akan memantau hantaran berunsur provokasi di laman web atau media sosial, sepanjang proses berkempen hingga PRU-15 ini.
"Kita sudah memohon bantuan Bukit Aman sekiranya terkesan mana-mana laman web atau akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu atau memprovokasi mana-mana pihak.
"Tindakan awal itu adalah penting bagi memastikan tiada sesiapa yang terpengaruh dan akhirnya memburukkan keadaan.
"Perkembangan pesat teknologi komunikasi tanpa batasan ini akan menjadi platform utama kepada kempen, jadi semua calon dicadang menggunakannya dengan baik dan berhemah," katanya.
Menurut Mohd Shuhaily, seramai 4,514 pegawai dan anggota polis membabitkan sebanyak 73.51 peratus keseluruhan anggota di Kontinjen Pulau Pinang, bertugas sepanjang PRU-15.