Georgetown: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Citizen Awareness Chant Group (Chant) gesa rakyat di negeri itu meluangkan masa untuk melihat Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 yang dipamerkan selama dua bulan bermula 14 Oktober hingga 13 Disember ini.
Penasihatnya, Yan Lee berkata, adalah penting untuk rakyat meneliti dan membuat semakan terutamanya membabitkan kawasan mereka berdasarkan draf berkenaan dan mengemukakan pertanyaan atau bantahan lebih awal sebelum sesuatu pembangunan yang tidak diingini menjadi kenyataan.
Lee mendakwa, berdasarkan pemerhatiannya terdapat sebuah kawasan di Tanjung Bungah dekat sini, yang dalam pengetahuannya merupakan lokasi penempatan penduduk diwarnakan dengan warna putih.
"Warna putih itu bermaksud tiada aktiviti penggunaan tanah di situ sedangkan dalam pengetahuan saya ada penempatan penduduk di sana.
"Dalam erti kata lain kawasan itu berkemungkinan boleh dibangunkan misalnya untuk projek komersil atau tujuan-tujuan lain.
"Dianggarkan terdapat kira-kira 100,000 lot membabitkan kawasan di sebelah pulau dalam draf berkenaan dan kami tidak dapat periksa semua sebab itu penting untuk orang ramai melihat tempat masing-masing supaya mereka lebih bersedia sebelum nasi menjadi bubur," katanya di sini, hari ini.
Lee menjelaskan, persediaan itu termasuk dalam aspek perancangan pembelian hartanah supaya mereka tidak terkejut apabila tiba-tiba kawasan kediaman mereka atau tanah serta rumah yang atau bakal dibeli secara tiba-tiba berada berdekatan misalnya dengan projek lebuh raya pada masa depan.
Beliau yang mempunyai pengalaman selama 15 tahun terbabit dalam isu berkaitan perancangan dan pembangunan tanah bagaimanapun mengakui tidak semua mampu memahami Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2030 tanpa bantuan dan penjelasan mereka yang lebih mahir.
Justeru, beliau mencadangkan kerajaan negeri mengadakan sesi 'town hall' sekali gus membuka peluang untuk sesi soal jawab bagi membolehkan orang ramai mendapat penjelasan dan maklumat yang diperlukan berhubung draf rancangan tersebut.
"Amalan ini sudah dilakukan di Selangor apabila bukan sahaja ada sesi 'town hall' malah draf rancangan tempatan negeri tersebut turut dipamerkan di semua pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya.
Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang 2030 adalah yang pertama diumumkan bagi kawasan pulau dalam tempoh 14 tahun sejak kerajaan pimpinan DAP mentadbir negeri ini dan ia kini dipamerkan di Bangunan Syed Al-Attas, Lebuh Armenian serta di Makerspace, Balik Pulau.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada 22 Oktober lalu dilaporkan berkata, Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (Pulau) 2030 merupakan dokumen rasmi yang menerangkan semua cadangan mengenai penggunaan tanah secara terperinci di setiap lot.
Draf tersebut bakal menjadi garis panduan perancangan dan pembangunan dalam kawasan pulau di negeri ini dan selepas diwartakan akan menjadi rujukan kepada komuniti, pemilik tanah, pihak berkepentingan serta orang awam di Daerah Timur Laut dan Barat Daya.