|
IRFAN memenangi perlumbaan di Litar Tangkak, Johor baru-baru ini.
PELUMBA pasukan Honda KC Racing, Mohd. Irfan Haykhal Amidi percaya dia sudah menimba pengalaman berharga dalam kelas CP125 pada Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia sepanjang saingan musim ini.
Walaupun dilihat agak bergelut pada awal saingan 2022, namun pelumba yang beraksi buat pertama kali dalam kategori tersebut semakin menunjukkan kematangan menjelang perlumbaan pusingan kesembilan di Litar Antarabangsa Sepang Selatan hujung minggu ini.
Selepas memenangi perlumbaan pertama musim ini pada pusingan kelapan di Litar Tangkak, Johor September lalu, Irfan berjaya menempatkan diri di kedudukan kelapan dalam senarai kejuaraan dengan mengumpul 57 mata.
“Pada mulanya, memang sukar bagi saya untuk mengendalikan jentera dalam kategori CP125 kerana bukan mudah mencari keserasian dengan jentera. Tahun ini, saya masih mencari pelarasan serta pengalaman untuk menjadi lebih bagus.
“Bagi saya, jentera tidak ada sebarang masalah, cuma persaingan dalam CP125 tidak sama dan berbeza dengan kategori Wira KBS. Secara jujur, saya gemar beraksi di Litar Tangkak kerana lebih teknikal,” kata pelumba dari Pahang itu.
Pada masa sama, dia juga sedar persaingan untuk mengejar kejuaraan musim ini sudah tertutup, namun Irfan tetap sedia menampilkan aksi lebih baik bagi bersaing dalam saingan tahun depan.
Sementara itu, pengurus pasukan Honda KC Racing, Wan Rosli Wan Mohamad menyuarakan rasa puas hati terhadap peningkatan yang ditampilkan Irfan sepanjang musim ini, terutamanya ketika menaiki podium di Litar Tangkak.
“Kami sangat berpuas hati dengan peningkatan Irfan setakat ini serta pencapaian menaiki podium baru-baru ini. Bagi perlumbaan akan datang, pasukan kami sudah membuat persediaan terbaik dari segi pelarasan enjin jentera serta strategi,” ujarnya.
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... a-saingan-cub-prix/ |
|