View: 440|Reply: 0
|
[Perlis]
Perlis tak tutup lokasi perkelahan, tapak perkhemahan
[Copy link]
|
|
PADANG BESAR: Perlis tidak menutup sementara tempat perkelahan dan perkhemahan di kawasan berisiko berhampiran cerun dan sungai selepas berpendapat tiada keperluan untuk negeri ini berbuat demikian.
Ia berikutan lokasi tumpuan terbabit terletak di kawasan yang tidak berisiko serta sering dipantau rapi oleh pihak berkuasa.
Pengarah Perhutanan Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni, berkata tiga kawasan rekreasi di bawah pengawasan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis (JPNPs) ialah Wang Kelian, Gua Kelam dan Hutan Lipur Bukit Ayer di Sungai Batu Pahat, Kangar.
"Di Wang Kelian, ada tarikan 'view point' berketinggian 304 meter dan ia masih dibuka untuk kunjungan pelancong. Begitu juga Taman Negeri Perlis di Wang Kelian yang turut mempunyai kemudahan tapak perkhemahan, namun tiada aktiviti perkhemahan di situ ketika kerana cuaca hujan.
"Selain itu, mereka yang ingin melakukan aktiviti rekreasi atau berkhemah di situ perlu memohon terlebih dulu kepada JPNP," katanya ketika dihubungi.
Katanya, kawasan rekreasi di Gua Kelam dan Hutan Lipur Bukit Ayer juga masih dibuka kepada orang ramai, terutama ketika cuti sekolah sekarang.
"Gua Kelam ada dua laluan dan lazimnya kita akan tutup laluan Gua Kelam 1 sekiranya hujan lebat, manakala Gua Kelam 2 terus dibuka kerana tidak membabitkan aktiviti mandi-manda, hanya aktiviti perkhemahan.
"Bagi Hutan Lipur Bukit Ayer, ia adalah kawasan mandi-manda dan secara lumrahnya dari dulu lagi sekiranya hujan lebat, kawasan ini tidak akan dikunjungi sesiapa. Ia hanya dikunjungi apabila cuaca baik dan cerah.
"Selain Air Terjun Bukit Ayer, JPNPs juga menyediakan kolam renang terletak berhampiran sebagai alternatif kepada pengunjung yang mahu mandi-manda tetapi tidak mahu ke kawasan air terjun itu," katanya.
Tinjauan di Gua Kelam dan Hutan Lipur Bukit Ayer mendapati kedua-dua kawasan rekreasi itu terus dikunjungi orang ramai yang mengambil kesempatan cuti sekolah yang bermula minggu lalu. Meskipun hujan renyai, orang ramai tetap mandi-manda di kawasan air terjun Hutan Lipur Bukit Ayer.
Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara, menghentikan operasi selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.
Arahan itu dikeluarkan kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dan susulan itu, beberapa negeri menutup semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi termasuk lereng bukit serta air terjun sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Keputusan itu dibuat susulan kejadian tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor pada Jumaat yang mengorbankan 24 orang setakat ini.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar terus dikunjungi orang ramai sempena cuti sekolah. - NSTP/AIZAT SHARIF
https://www.bharian.com.my/berit ... n-tapak-perkhemahan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|