GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuka permohonan kepada individu yang berminat mendapatkan Permit Sementara Bermusim bagi bazar Ramadan 2023.
Permohonan dibuka mulai 22 Disember lalu sehingga 20 Februari tahun depan.
Ahli MBPP, Ahmad Azrizal Tahir, berkata permohonan boleh dibuat menerusi portal
https://elesen.mbpp.gov.my dan pemohon diminta mengemukakan dokumen lengkap bagi memudahkannya diproses.
"Perkara penting ketika mengemukakan permohonan ialah nombor telefon atau emel bagi memudahkan pihak MBPP menghubungi individu berkenaan.
"Pemohon juga perlu mematuhi syarat mengenai saiz gerai mengikut kelulusan MBPP, mendapatkan suntikan tifoid sah tempoh bagi jualan makanan dan warga asing tidak dibenar memohon atau mengurus jualan," katanya.
Syarat lain ialah peniaga perlu menyediakan tong sampah bertutup yang bersesuaian saiz, perlu memakai apron, topi dan sarung tangan ketika mengendalikan makanan, tidak menggunakan bekas polisterin tidak dibenarkan dan dilarang meletakkan barang jualan di sesiaran kaki gerai.
Ahmad Azrizal berkata, jualan mercun dan bunga api tidak dibenarkan bagi permohonan permit itu.
"Peniaga disaran menggunakan transaksi tanpa tunai dan membawa bekas sendiri (BYOC) dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.
"Tindakan akan diambil terhadap mereka yang beroperasi tanpa kelulusan pihak MBPP," katanya