|
Pemenang kejuaraan Cub Prix musim ini.
KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia bakal memasuki musim ke-30 tahun depan dengan perlumbaan yang mula dianjurkan pada 1994 itu kembali rancak dipertandingkan selepas turut terkesan dengan pandemik COVID-19.
Saingan musim ini melabuhkan tirainya di Batu Kawan, Pulau Pinang dengan menyaksikan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran melakar gelaran ketiganya selepas 2018 dan 2019 dalam kelas perdana CP150 di pusingan sebelumnya di Litar Antarabangsa Sepang.
Merumuskan kejayaan bagi musim 2022, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual (SAM) Sdn. Bhd, Ron Hogg berkata, pihak penganjur bersama PETRONAS selaku penaja utama berjaya mencari jalan untuk beroperasi meskipun dalam norma baharu.
"Situasi pandemik selama lebih dua tahun ini sememangnya menjadi cabaran bagi semua pihak.
"Di sebalik cabaran berkenaan, kami memperoleh pandangan yang amat berbeza dan positif terutama dalam penggunaan kemahiran kreatif dan inovasi untuk terus memajukan kejuaraan permotoran nasional ini termasuk dalam usaha kami memacu kesedaran dan memupuk minat dalam kalangan generasi muda.
"Pelbagai inisiatif sudah dirancang untuk masa depan dan dengan peralihan secara progresif ke arah situasi yang lebih terkawal dan stabil, kami berharap bahawa Kejuaraan Cub Prix akan kembali seperti biasa.
"Pencapaian kami sudah pasti tidak kesampaian sekiranya bukan kerana langkah teratur dan kerjasama daripada sahabat Cub Prix dan semua pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam mengecapi misi bersama," katanya.
Dalam pada itu, SAM turut mengumumkan kalendar bagi musim 2023, menyaksikan 10 pusingan bakal berlangsung bermula dari Februari di Litar Sepang (Utara) hingga November di Batu Kawan.
Jadual musim 2023
25-26 Februari - Litar Sepang (Utara)
11-12 Mac - Jempol, Negeri Sembilan
27-28 Mei - (akan ditentukan)
10-11 Jun - Litar Sepang (Selatan)
8-9 Julai - Litar Lumba Tangkak, Johor
21-22 Julai - Litar Permotoran Terengganu
2-3 September - Teluk Intan, Perak
22-23 September - Litar Permotoran Terengganu
21-22 Oktober - Litar Lumba Tangkak, Johor
25-26 November - Batu Kawan, Pulau Pinang
https://www.bharian.com.my/sukan ... ix-masuk-tiga-dekad |
|