Padang Besar: Kerajaan menerusi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan membina laluan pejalan kaki berpagar sementara bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar dengan Stesen Kereta Api Padang Besar.
Ini berikutan jejantas sedia ada ditutup sejak September 2020 atas faktor keselamatan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan bersetuju dengan pembukaan laluan itu bagi memudahkan orang ramai khususnya pengembara.
"RAC kini dalam proses akhir memilih kontraktor yang layak bagi projek yang dianggarkan bernilai RM300,000 itu dan projek tersebut dijangka mampu disiapkan dalam masa empat bulan," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks ICQS Padang Besar di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Taib.
Beliau berkata, Padang Besar merupakan pintu masuk kedua tersibuk di sebelah utara selepas Bukit Kayu Hitam di Kedah dan kemasukan pelancong mula mencecah lebih satu juta orang selepas pandemik Covid-19.
Katanya penutupan jejantas itu telah menimbulkan kesukaran kepada pengembara kerana mereka terpaksa menaiki teksi dari Stesen Kereta Api Padang Besar untuk ke pekan Padang Besar.
"Kita harap pembinaan laluan pejalan kaki berpagar sementara ini dapat memudahkan orang ramai dan membantu merancakkan semula ekonomi di Padang Besar," katanya.
Saifuddin Nasution berkata, projek itu hanya langkah sementara kerana kerajaan akan membina satu jambatan baharu menghubungkan Kompleks ICQS Padang Besar ke Stesen Kereta Api Padang Besar dengan kos RM3 juta.
Sementara itu beliau berkata, KDN membuat pemohonan kepada Kementerian Ekonomi untuk pembangunan infrastruktur di pintu sempadan Wang Kelian, namun belum berhasil.
"KDN masih belum membuat keputusan mengenai pembukaan semula laluan bebas di Wang Kelian sebaliknya akan membuat keputusan jika ada pembangunan infrastruktur terlebih dahulu kerana kita mahu kedua-duanya berjalan serentak," katanya.