GEORGETOWN: Usaha meningkatkan pembabitan golongan belia dalam sektor pertanian, menjadi antara fokus utama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata justeru pelbagai geran, dana serta latihan ditawarkan kementerian dan agensinya dalam usaha meremajakan sektor berkenaan.
"Kementerian menyediakan bantuan Geran Agropreneur Muda (GAM) bagi individu berumur 18 hingga 40 tahun, dan ia sudah memanfaatkan 8,403 orang di seluruh negara dari 2016 hingga 2022 dengan nilai kelulusan berjumlah RM151.75 juta.
"Selain itu, sebanyak 146 pusat agropelancongan berdaftar bawah bimbingan jabatan dan agensi kementerian ini turut diberi bantuan Geran Agropelancongan bernilai RM22.13 juta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agropelancongan dan Agrobelia, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, galakan berterusan dan bantuan dalam bentuk kewangan, infrastruktur serta latihan kepada belia untuk menceburi bidang agrokeusahawanan, berupaya mentransformasi sektor itu kepada pertanian moden, sekali gus melipatgandakan pengeluaran makanan tempatan.
Katanya, Jelajah Agropelancongan dan Agrobelia merupakan antara inisiatif kerajaan bagi menarik minat golongan belia untuk berkecimpung dalam sektor agromakanan serta pertanian pintar.
Beliau memaklumkan, program anjuran MAFS itu berlangsung hingga esok di pekarangan Town Hall & City Hall, Padang Kota.
Sebelum ini, jelajah sama diadakan di Pasir Gudang, Johor, 2 hingga 4 Disember lalu yang mencatat kehadiran kira-kira 17,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM336,000, dan di Shah Alam, Selangor, pada 3 hingga 5 Februari dengan sekitar 18,000 pengunjung serta jualan berjumlah RM341,000. – BERNAMA