Kulim: Tindakan seorang lelaki mahu menyelamatkan adiknya dalam pusaran air mengundang tragedi apabila mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Pusat Rekreasi Air Terjun Sungai Sedim, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 3.20 petang itu, mayat dua beradik berkenaan ditemui penduduk kampung di dasar sungai.
Dua beradik terbabit dikenal pasti sebagai Mohamad Syafiq Yusof, 33, dan adiknya Mohamad Syazwan, 25, berasal dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, dua beradik berkenaan didapati berkunjung ke kawasan air terjun terbabit bersama tiga rakan lain.
"Semua mandi di kawasan lubuk sungai berkenaan sebelum air berpusar dengan tiba-tiba dan menenggelamkan mereka.
"Bagaimanapun, empat daripadanya berjaya naik ke permukaan manakala seorang lagi tenggelam," katanya.
Menurutnya, abang mangsa yang menyedari adiknya itu tidak timbul terjun semula untuk menyelamatkannya.
"Bagaimanapun, abang mangsa gagal menyelamatkannya dan dua beradik berkenaan ditemukan lemas.
"Mayat dua beradik itu ditemukan di dasar sungai oleh penduduk kampung yang turut membantu mencari mangsa," katanya.
Menurutnya, dua mangsa terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
"Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya.