SIK: Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda inisiatif Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) meneruskan program jelajah di daerah ini hari ini, dengan menyantuni penghuni Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik.
Seramai 25 kru skuad berkenaan menyertai program gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, selain mengadakan rewang menyediakan gulai daging dengan umbut pisang untuk juadah berbuka puasa bersama 85 warga pondok berkenaan.
Skuad Seindah Kasih X Jom Ronda turut mengagihkan set kelengkapan solat, tongkat dan pakej set iftar iaitu sumbangan minuman isotonik dan 10 unit kotak rezeki mengandungi makanan kering untuk kegunaan sepanjang bulan puasa ini.

Pelakon dan Penyanyi, Mohamed Razman Abdul Aziz atau dikenali sebagai Aman Aziz (kanan) menunjukkan kepada Mudir Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah Sik, Ustaz Alias Abdullah antara barangan sumbangan sempena Seindah Kasih X Jom Ronda di Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik di sini. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
Pelakon dan penyanyi, Mohamed Razman Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Aman Aziz, teruja dapat mendekati warga emas di pondok itu yang dengan sendirinya menyuntik keinsafan di bulan mulia ini.
"Saya ada mengikuti banyak program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tetapi yang ini dapat rasa rasakan kelainannya apabila bersama anak yatim di Sungai Petani semalam dan hari ini dengan warga emas.
"Hari ini kami mendekati warga emas di sini yang sanggup meninggalkan keluarga untuk mendalami ilmu agama dan lebih istimewa, saya menikmati pengalaman pertama menyediakan gulai daging umbut pisang.
"Jujur saya katakan, saya tak pernah tahu ada bahagian pada pokok pisang yang boleh dimakan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Penghuni Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik, Shahrom Akop, 73, bersyukur atas ingatan dan sumbangan Kumpulan Media Prima.
"Ini program pertama warga pondok ini sertai Ramadan ini. Saya gembira kerana orang dari jauh sanggup datang memberi bantuan, terima kasih atas keprihatinan buat kami di sini.

Pelakon dan Penyanyi, Mohamed Razman Abdul Aziz atau dikenali sebagai Aman Aziz (kanan) bersama-sama bergotong-royong untuk memasak gulai daging umbut pisang sempena Seindah Kasih X Jom Ronda di Pondok Warga Emas Raudhatul Jannah Sik di sini. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
"Kami rasa diraikan, apatah lagi dengan keadaan saya yang berkerusi roda sejak tahun lalu, memang gembira bila berpeluang beramah mesra dengan mereka," katanya yang menghuni pondok itu sejak 2018.
Pengasas pondok yang juga Mudir Pondok Tahfiz Raudhatul Jannah Sik, Ustaz Alias Abdullah, berterima kasih kepada Media Prima kerana memilih pondok itu menerima sumbangan yang diedar kepada penghuni.
"Saya agak terkejut bagaimana Media Prima boleh memilih pondok ini untuk menerima bantuan kerana kami berada di kawasan pedalaman.
"Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada Allah, walaupun jauh tetap ada orang di bandar dapat mencari kami menghulurkan sumbangan," katanya.
Sik adalah lokasi kedua dikunjungi skuad ini selepas Sungai Petani semalam, sebelum meneruskan jelajah ke Perlis esok.