KANGAR: Ibu kepada tiga remaja termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) yang disyaki
didera di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini didakwa tidak pernah memukul anaknya.
Perkara itu ditegaskan kakak sulung wanita terbabit, Hamiah Osman, 70, atau dikenali sebagai Kak Yam yang menetap di sebelah kediaman adiknya itu.
"Adik saya tidak pernah pukul anak dan jarang sekali dia memarahi mereka cuma adakalanya dia terpaksa meninggikan suaranya kerana anak-anak agak nakal dan terpaksa ditegur.
"Anak-anaknya sukar dikawal tingkah laku sehinggakan mereka sering ditemui berkeliaran di sekitar kampung ini.
"Jadi adik saya yang bertugas sebagai pekerja pembersihan atau 'cleaner' di sebuah institusi pendidikan di Kangar terpaksa merantai semua anak mereka pada kaki bagi mengelakkan mereka merayau," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lat 1000, Simpang Empat, di sini hari ini.
Katanya, adiknya bukan tidak mahu menghantar dua anaknya yang mengalami OKU masalah pembelajaran dan pendengaran ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi disebabkan khuatir anaknya dibuli.
"Ketiga-tiga adik beradik ini juga sebenarnya adalah adik beradik tiri, mereka ini seibu tetapi mempunyai lain bapa.
"Anak sulung yang berusia 16 tahun adalah daripada pernikahan pertama manakala yang kedua dan ketiga yang berusia 13 dan 14 tahun dari pernikahan kedua.
"Adik saya baru sahaja melangsungkan pernikahannya yang ketiga tiga bulan lalu dan suaminya seorang yang baik dan mesra dengan anak-anak tirinya dan sering membelikan makanan kepada mereka.
"Selain itu, setiap petang, mereka sering bermain sepak raga bersama bapa tiri mereka jadi saya tidak nampak tanda mereka itu didera malah saya tidak pernah dengar tangisan mereka didera," katanya.
Suami Hamiah, Bahari Man, 74, menjelaskan kenakalan anak saudaranya itu dapat dilihat menerusi keadaan dalam rumah remaja itu yang tunggang langgang.
"Lihat sahaja pada besi jeriji tingkap rumah berkenaan yang patah selain jendela yang rosak tanpa tingkap.
"Malah, jendela tak bertingkap itulah yang membolehkan remaja berkenaan lolos keluar dari rumah dan ditemui merayau oleh orang ramai pada malam berkenaan.
"Kami juga khuatir sebenarnya terhadap keselamatan mereka apabila mereka keluar merayau kerana di sekeliling kawasan ini terdapat sungai dan jalan raya yang boleh menyebabkan mereka mengalami kemalangan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan siasatan awal mendapati tiada kesan penderaan berlaku pada remaja berkenaan.
Semalam, akhbar melaporkan penemuan tiga beradik dalam keadaan lemah dan tidak bermaya dengan dua daripadanya masih diikat rantai pada kaki di tepi Jalan Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat selepas dipercayai dikurung dan dirantai di dalam sebuah rumah oleh ibu mereka.