|
ANGGOTA APMM melakukan evakuasi seorang anak kapal yang mengalami serangan jantung. FOTO Ihsan APMM.
Batu Pahat: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat melaksanakan evakuasi perubatan (Medivac) ke atas seorang anak kapal yang mengalami serangan jantung, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, berkata pihaknya menerima aduan daripada ejen syarikat perkapalan mengenai seorang kru kapal Vangelis mengalami serangan jantung ketika sedang belayar menuju ke pelabuhan Singapura.
Katanya, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat (PUSOP) menyalurkan maklumat kepada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru bagi mengkoordinasikan kedudukan kapal, aset APMM iaitu Bot Kilat 13.
Beliau berkata, Bot Kilat 13 diatur gerak ke lokasi kapal Vangelis kira-kira 17 batu nautika Barat Daya Tanjung Tohor, Muar.
"Setibanya di lokasi, mangsa, Rogelio P Abucejo, 53, warga Filipina berada dalam keadaan kesakitan dan perlu dibawa ke hospital dengan kadar segera.
"Keadaan cuaca laut bergelora dan angin kencang menyukarkan proses pemindahan mangsa, namun lelaki itu berjaya dipindahkan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat kira-kira 11.40 malam.
"Kru berkenaan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haniff berkata, Medevac ini adalah kes pertama bagi di perairan Zon Maritim Batu Pahat bagi tahun ini.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... gan-jantung-di-laut |
|