Sintok: Hujan lebat serta angin kencang yang melanda Mukim Temin, di sini menyebabkan beberapa pokok tumbang dan menimpa kenderaan serta kerosakan bumbung, garaj selain menghalang jalan di kawasan kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, kejadian berlaku pada jam 4.45 petang.
"Anggota kami membersihkan pokok tumbang serta kawasan terjejas.
"Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan terhadap mangsa dan operasi sedang dilakukan anggota di lokasi," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, penuntut UUM, Eidlan Hadi, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang istirehat dan menyedari angin kencang bertiup luar biasa dari tingkap sebelahnya.
Katanya, sepanjang menuntut di UUM sejak lebih lima tahun, kejadian ribut ini paling kuat dialami dan bimbangkan keselamatannya pada waktu itu.
"Kejadian ini berlaku kira-kira 20 minit," katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Keselamatan Pelajar UUM, Abdul Fattah Zaid Arafat berkata, beliau bersyukur tiada penuntut cedera ketika ribut berlaku.
"Alhamdulillah, berdasarkan laporan yang saya terima setakat ini, tiada penuntut yang cedera, nasib baik sekarang cuti semester dan tidak ramai penuntut di kampus.
"Bagaimanapun, sebuah kereta milik seorang penuntut dilaporkan rosak akibat kejadian itu dan kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu.
"Selepas ini kami mengambil langkah perlu bagi memastikan semua laluan selamat dalam apa jua keadaan bagi mengelak kejadian ini berulang kembali," katanya.