ALOR SETAR: Umat Islam diminta menghentikan perbalahan dan dinasihat tidak mempercayai khabar angin mengenai spekulasi tarikh Aidilfitri yang dikatakan disambut pada 21 April ini.
Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, berkata orang ramai juga dinasihatkan berhenti menyebarkan khabar yang belum sahih termasuk menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.
"Jangan berbalah atau sebar mengenai spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat minggu depan.
"Kita ada 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.
"Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat kita yang terbabit, pada malam Jumaat (tarikh melihat anak bulan) itu kemungkinan melihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria diputuskan.
"Walau apa pun keputusannya akan diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada malam itu selepas menerima laporan hasil cerapan," katanya selepas Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Pokok Sena di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norizan Khazali.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UEA), baru-baru ini yang menjangka 1 Syawal pada 21 April ini.
Mengulas lanjut, Fadzil berkata, apa yang penting ketika ini ialah umat Islam perlu fokus melakukan amal ibadat dan mengejar Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir ini.
"Sepuluh malam Ramadan ini yang dinanti-nantikan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, carilah kedatangan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan, malah baginda mempersingkatkan tempoh itu pada malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.
"Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipatgandakan amal ibadat, namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.
"Keadaan itu mungkin disebabkan sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan. Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipat gandakan amalan sepanjang tempoh itu," katanya.