|
TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera selepas tong gas petroleum cecair (LPG) di dapur rumahnya di Kampung Berungis di sini, meletup petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohammad Nor Amit, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.32 petang.
Katanya, seramai 15 anggota dan pegawai bergegas ke lokasi dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kanak-kanak yang cedera sudah dihantar oleh orang awam ke hospital berhampiran.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, mungkin berlaku kebocoran pada hos gas dan mangsa yang tinggal sendirian menghidupkan suis peti sejuk, mengakibatkan percikan berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohammad Nor berkata, mangsa dirawat di Hospital Tuaran akibat kecederaan pada bahagian muka.
"Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi mengelak bahaya lain. Operasi ditamatkan pada jam 2.40 petang," katanya.
Sumber: BH Online
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|