GEORGETOWN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) diminta memberi penjelasan berhubung keputusannya meluluskan Laporan Kesan Penilaian Kepada Alam Sekeliling (EIA) Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), yang mendapat bantahan pelbagai pihak.
Pada masa sama, Kerajaan Pulau Pinang juga perlu mendedahkan kepada umum, 71 syarat yang dikenakan JAS untuk projek itu, seiring dengan kelulusan EIA yang diberikan, seperti dilaporkan Ketua Menteri Pulai Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini.
Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), S Mageswari, berkata pihaknya terkejut dan kecewa dengan berita kelulusan itu, berikutan projek itu memberi impak buruk kepada alam sekitar dan mendapat bantahan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan.
Beliau berkata, SAM selaku Ahli Jawatankuasa Semakan Teknikal EIA (EIATRC) turut mengemukakan bantahan sebagai sokongan kepada komuniti nelayan serta kebimbangan terhadap alam sekitar.
"Kami berasa kecewa kerana laporan EIA projek itu diluluskan meskipun terdapat kebimbangan yang ditimbulkan nelayan, termasuk Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) serta semua unit perkampungan nelayan di kawasan itu.
"Pihak lain yang membantah dan berada dalam EIATRC, termasuk agensi berkaitan perikanan iaitu Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Institut Penyelidikan Perikanan.
"Semuanya menyuarakan kebimbangan mereka, penambakan laut ini akan menjejaskan sektor perikanan, mata pencarian nelayan dan keselamatan makanan kerana tapak penambakan mempunyai biodiversiti marin yang tinggi.
"Ketua Pengarah JAS mesti memberi alasan berhubung keputusan itu secara telus, selain kerajaan negeri perlu mendedahkan kepada umum 71 syarat yang telah dikenakan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow berkata, kelulusan EIA itu dimaklumkan menerusi surat daripada JAS Putrajaya bertarikh 11 April lalu dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.
Beliau berkata, laporan EIA yang diluluskan itu akan dimuat naik dalam laman sesawang Penang Infrastructure Corporation (PIC) untuk bacaan umum.
PSI membabitkan pembangunan tiga pulau buatan, dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas.
Mengulas lanjut, Mageswari berpandangan, satu aspek penting yang dikecualikan semasa menilai skala impak projek itu ialah kesan penyumberan pasir dan bahan isian lain seperti batu.
Katanya, dengan projek yang dicadangkan terdiri daripada tiga pulau tebus guna dengan keluasan keseluruhan 1,821.1 hektar, ia memerlukan bahan isian dianggarkan 207,000,000 meter padu.
"Jumlah isipadu batuan yang diperlukan sebagai perlindungan tepi pulau tebus guna ialah 4,500,000 meter padu.
"Kesan alam sekitar hasil daripada mendapatkan pasir dan batu ini harus dimasukkan dalam laporan itu," katanya sambil menyifatkan projek itu bertentangan dengan keperluan perancangan hari ini, yang memerlukan pembangunan berdaya tahan iklim.