Batu Kawan: Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI) hanya akan dimulakan selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, EMP dijangka tidak mengambil masa terlalu lama untuk diluluskan seperti kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Katanya, sekiranya Jabatan Alam Sekitar (JAS) merasakan EMP yang dikemukakan tidak lengkap dan perlu ditambah baik maka kerajaan negeri bersedia melalui segala proses yang diperlukan.
"Mengikut amalan biasa, ia (EMP) boleh diluluskan dalam masa mungkin sekitar dua bulan tidak seperti EIA yang mengambil masa terlalu panjang.
"Setiap agensi pun ada KPI (petunjuk prestasi utama) untuk dipatuhi. Misalnya, satu permohonan memerlukan satu jawapan kepada permohonan dan lazimnya dalam tempoh itu perlu diberi jawapan atau kelulusan kepada apa yang disebut itu.
"Tetapi dalam peringkat ini, kalau JAS merasakan EMP yang dikemukakan masih tidak lengkap, mereka masih boleh memberi maklum balas dan kita terbuka dengan proses ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan kelulusan EIA yang dikeluarkan JAS bukanlah keputusan muktamad membenarkan aktiviti tambakan di lokasi dicadangkan.
Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Gelanggang Bola Keranjang Taman Tangling di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kelulusan EIA sudah muktamad dengan 71 syarat perlu dipatuhi namun kini hanya perlu menunggu EMP untuk memulakan projek tambakan yang dijangka dimulakan suku ketiga tahun ini.
"Selepas kelulusan EIA, ia akan disusuli dengan EMP yang kita akan bentangkan untuk mematuhi semua syarat berkenaan.
"Sebelum keputusan dibuat banyak siri mesyuarat teknikal diadakan untuk agensi-agensi berkaitan memberi maklum balas kepada laporan yang juru runding kita sediakan.
"Berhubung 71 syarat yang perlu dipatuhi, kita akan minta pakar kaji dan cara bagaimana kita nak tunaikan syarat itu yang sebenarnya ia bukan perkara baru, sekali gus membolehkan EMP diluluskan," katanya.
Terdahulu, projek bernilai RM11 bilion itu mendapat kelulusan EIA daripada JAS, namun perlu mematuhi 71 syarat yang ditetapkan.
Projek kontroversi itu melalui proses komprehensif berhubung laporan EIA yang diluluskan pada 25 Jun 2019, tetapi terdapat rayuan sehingga keputusan itu dibatalkan. Laporan baharu diserahkan pada 29 April 2022.
PSI membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut dekat Bayan Lepas yang ia adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.