GEORGETOWN: Tiada keperluan untuk menganjurkan debat mengenai isu berkaitan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) membabitkan penambakan tiga pulau buatan yang mencetus kontroversi susulan bantahan dibangkitkan pelbagai pihak.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata ini kerana kerajaan negeri percaya segala pertikaian dan persoalan yang dibangkitkan mengenai projek itu dianggap sebagai satu proses yang sudah berlalu.
Sebaliknya, beliau berpendapat pihak yang tidak berpuas hati dengan projek yang menjadi sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang itu berhak membawa perkara berkenaan ke mahkamah.
"Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan semua agensi teknikal sudah meletakkan syarat...kalau kami tidak dapat mematuhi syarat pelan pengurusan alam sekitar (EMP) maka ia pun tidak akan diluluskan.
"Kalau boleh diluluskan maksudnya ia melalui satu penelitian yang begitu rapi untuk JAS keluarkan kelulusan dengan syarat untuk dipatuhi.
"Jadi kita perlulah tunggu bagi membuktikan kita mampu tunaikan syarat-syarat yang diletakkan bersama kelulusan ini," katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan Hari Wesak Pulau Pinang anjuran Persatuan Buddha Malaysia di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (PEMIKIR), Datuk Dr Muhamad Farid Saad, mempersoalkan sama ada Kerajaan Persekutuan dan Pulau Pinang mempunyai rancangan memastikan tiada sesiapa ketinggalan hasil pembangunan PSI.
Selain itu Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, turut mencabarKon Yeow berdebat isu pembangunan PSI dan memberikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu peluang menetapkan tarikh, masa dan lokasi debat.
Kon Yeow dalam pada itu, mengulangi bahawa kerajaan negeri bersama rakan pelaksana projek sudah melalui proses begitu panjang selama tujuh hingga lapan tahun membabitkan penyertaan serta pameran awam dengan semua pihak boleh dan telah mengambil bahagian dalam proses itu.
"Kita melihat ke hadapan....apa yang sudah berlalu kalau beliau tidak ambil bahagian dalam proses itu saya pun tak dapat buat apa-apa kerana proses pun sudah berlalu.
"Mungkin beliau mahu bawa ke mahkamah itu hak beliau...tiada keperluan (berdebat) semua sibuk persediaan pilihan raya negeri (PRN)," katanya.
Beliau berkata, fokus ketika ini adalah memberi tumpuan untuk memulakan proses tebus guna membina pulau dan kerajaan negeri terlebih dahulu akan mengumumkan cadangan yang akan dilakukan dalam PSI khususnya membabitkan Pulau A pada minggu akan datang.