Permatang Pauh: Ribuan pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Setakat jam 11 pagi, dianggarkan lebih 10,000 tetamu daripada pelbagai peringkat usia dan latar belakang memenuhi dua khemah besar yang disediakan penganjur di kiri dan kanan Dewan Besar UiTM.
Lebih 50 gerai makanan disediakan yang dikelolakan pelbagai jabatan dan agensi di Pulau Pinang seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Jabatan Pertanian, Pelabuhan Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
Pelbagai menu disajikan kepada orang ramai antaranya kambing golek, pasembur, laksa, martabak, roti John, sate, cendol, lemang, ketupat, rendang, mi sotong, mi kari, ais tingkap, bebola daging, pecal dan char kuetiau.
Pengunjung orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Jaafar Munn, 64, berkata, meskipun tidak dapat melihat wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia amat berharap dapat bersalam dengan pemimpin yang amat dikaguminya itu.
"Saya mai (datang) sebab nak bersalam dengan Perdana Menteri tak dapat makan pun tak apa. Kali terakhir saya bersalam dengan beliau sudah lama beberapa tahun lalu semasa Anwar berceramah di Permatang Pauh.
"Saya suka segala-galanya mengenai Perdana Menteri walaupun tidak dapat melihatnya dan mengikut rapat perkembangannya sejak 1998 sehingga sekarang," katanya yang berniaga kopi di pasar malam dan pasar tani di sekitar Bukit Mertajam.

JAAFAR. FOTO Danial Saad
Jaafar yang mempunyai empat anak termasuk dua daripadanya bekerja sebagai guru berkata, biarpun Perdana Menteri dijadual tiba pada jam 12 tengah hari dia sanggup menunggu sejak jam 9 pagi untuk mendapat peluang itu.
Seorang lagi pengunjung, S Suganthi, 54, berkata, dia bertolak dari rumah di Relau dekat sini, seawal jam 7 pagi kerana menemani anak perempuannya yang dijemput membuat persembahan majlis rumah terbuka berkenaan.
"Saya sangat teruja menghadiri majlis rumah terbuka yang dihadiri Perdana Menteri dan ini kali pertama saya dapat kesempatan datang ke majlis rumah terbuka hari raya yang begitu meriah.
"Saya lihat ada banyak pilihan makanan yang sesuai untuk semua golongan termasuk bubur kacang dan buah-buahan tempatan dan saya amat menyukainya," katanya.