CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 439|Reply: 1

[Kedah] Motosikal bertembung, dua maut

[Copy link]
Post time 8-5-2023 11:20 AM | Show all posts |Read mode
Motosikal bertembung, dua maut


Zuliaty Zulkiffli
[email protected]



SALAH satu motosikal dinaiki mangsa yang terbabit kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM




Yan: Remaja perempuan berusia 13 tahun maut, manakala adik perempuannya yang berusia 11 tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, di sini, malam tadi.

Kemalangan turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua penunggang motosikal yang meninggal dunia akibat parah dikenali sebagai Mohd Khatib Sharbini Tajuddin, 41, dari Sungai Dedap, Jalan Kota Sarang Semut dan Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13.

Adik Nur Aina Ellysya, Nur Aina Syafiqa, 11, pula cedera dan dirawat di Hospital Yan.

Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada 9.15 malam membabitkan dua motosikal.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, Honda EX-5 ditunggang Mohd Khatib dari arah Sungai Limau Dalam menghala ke Kampung Bahagia, manakala motosikal menghala yang ditunggangi dua beradik itu dari arah bertentangan.

"Namun sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua beradik itu masuk ke laluan Honda EX-5 dan kedua-duanya bertembung di bahagian hadapan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi remaja perempuan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahnaz berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




Disiarkan pada: Mei 8, 2023 @ 9:17am










Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 8-5-2023 11:39 AM | Show all posts
'Arwah kata nak pindah, rupanya nak tinggalkan kami semua'


Zuliaty Zulkiffli
[email protected]



SITI Rohani menunjukkan gambar anak saudaranya, Mohd Khatib yang maut dalam kemalangan dengan sebuah motosikal dinaiki dua beradik di Jalan Sungai Dedap. FOTO Zuliaty Zulkiffli.




Yan: "Arwah ada beritahu yang dia akan berpindah ke Langkawi dua hari lagi untuk tinggal bersama isterinya yang bekerja di sebuah spa kecantikan di sana dan makcik sangka dia nak 'pi' (pergi) teruslah, rupanya dia memang nak pergi tinggalkan kami semua," kata Siti Rohani Nan, 64.

Siti Rohani adalah ibu saudara kepada Mohd Khatib Sharbini Tajuddin, 41, yang meninggal dunia selepas motosikal Honda EX-5 yang ditungganginya bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beradik berusia 13 dan 11 tahun, di Jalan Sungai Dedap, di sini malam tadi.

Turut meninggal dunia, Nur Aina Ellysya Abdul Hadi,13, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR manakala adiknya, Nur Aina Syafiqa, 11, yang membonceng motosikal itu mengalami kecederaan dan masih dirawat di Hospital Yan (HY).

Menurut Siti Rohani, kali terakhir dia bertemu dengan Mohd Khatib pada 6.30 petang semalam di rumah adiknya, Zaharah Nan, 54, di Kampung Sungai Dedap.

Katanya, arwah anak saudaranya itu baharu selesai melakukan kerja mengikat bata untuk membina stor di rumah ibu saudaranya itu sejak dua hari lalu.

"Arwah kata nak tunggu bata kering dulu dan akan sambung kerja esok (hari ini).

"Dia sempat makan dan saya yang kebetulan berada di rumah adik ketika itu nampak dia berselera makan nasi berlaukkan sup daging serta air oren," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HY di sini hari ini.

Katanya, selepas selesai makan, Mohd Khatib memberitahu akan pulang ke rumah ibunya di Kampung Bahagia, tidak jauh dari tempat kejadian.

"Tidak lama kemudian saya terima panggilan memaklumkan Mohd Khatib terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Masa tu cari baju pun tak jumpa, cari apa pun dah tak jumpa sebab terlampau terkejut.

"Badan lemah longlai mendengar khabar duka itu kerana tak sangka kejadian itu berlaku, dia sudah saya anggap seperti anak sendiri," katanya.

Siti Rohani berkata, arwah yang juga anak bongsu daripada dua beradik lebih rapat dengan ibu saudaranya sejak kecil kerana lebih banyak tinggal bersama arwah neneknya.

Katanya, Mohd Khatib seorang yang rajin kerana dia akan melakukan apa yang disuruh tanpa banyak soal.

"Kalau tiada duit pun dia akan minta daripada ibu saudaranya, arwah memang baik cuma hasil perkahwinannya tidak dikurniakan anak," katanya.

Menurutnya lagi, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Dedap, di sini petang ini.

Sementara itu, jenazah Nur Aina Ellysya dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Kabu 10, Sungai Limau Dalam selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan di HY di sini.

Bagaimanapun adiknya dipercayai mengalami patah tangan masih dirawat di HY.

Harian Metro hari ini melaporkan remaja perempuan berusia 13 tahun maut manakala adik perempuannya yang berusia 11 tahun cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, di sini malam tadi.

Kemalangan itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.



Disiarkan pada: Mei 8, 2023 @ 11:22am












Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

3-3-2025 07:23 PM GMT+8 , Processed in 0.063729 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list