Balik Pulau: Lima pelajar Tingkatan Lima Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan, Khamis lalu.
Difahamkan kejadian pada jam 11 malam itu berlaku di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan apabila seorang pelajar Tingkatan Tiga dipukul dengan alasan lambat turun solat Subuh.
Difahamkan juga, mangsa mengalami luka kecil di badan akibat dipukul kumpulan pelajar terbabit menggunakan kaki serta tangan sebelum dia memaklumkan perkara berkenaan kepada bapanya pada keesokan hari.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, mengesahkan menerima laporan dan penahanan dibuat pada hari yang sama sebaik pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa.
"Kesemua pelajar berkenaan bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka dirakam.
"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Kamarul Rizal berkata, siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek turut membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama dalam tempoh masa antara jam 11 hingga 12.30 tengah malam di tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.
"Namun tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini," katanya lagi.
Sementara itu, ibu kepada seorang pelajar Tingkatan Tiga berkenaan berkata, kejadian buli itu hanya diketahui umum selepas ada waris meminta kenyataan balas daripada pihak MRSM berhubung terbabit menerusi satu aplikasi.
Katanya, setakat ini, tiada kenyataan diberi pihak MRSM berhubung kejadian itu atau mungkin hanya kepada ibu bapa pelajar yang terbabit.
"Anak saya tidak terbabit atau dibuli cuma apabila ditanya, dia memberitahu ada pelajar Tingkatan Lima memanggil pelajar Tingkatan Tiga secara beramai-ramai pada Sabtu lalu.
"Pelajar Tingkatan Lima itu memberi amaran supaya menghormati termasuk memberi salam sekiranya berselisih dengan mereka," katanya di sini.
Menurut ibu pelajar itu lagi, difahamkan dalam perjumpaan berkenaan anak perempuannya tidak dibuli atau dipukul sebaliknya hanya diberi peringatan mulut kerana mereka menyifatkan pelajar Tingkatan Tiga terlalu 'manja'.
"Namun, kami dikejutkan dengan kejadian buli yang membabitkan tangkapan pada Jumaat lalu dan ia membabitkan pelajar lelaki," katanya.