Georgetown: Penyambut tamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah berjumlah RM70,000.
Tertuduh, Janet PC Gomes, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Khalid Abd Karim.
Mengikut pertuduhan, Janet melakukan kesalahan berkenaan ketika bekerja sebagai kerani akaun di sebuah gedung pakaian di Lebuh Pasar, di sini.
Wanita berkenaan yang mempunyai penguasaan ke atas cek milik syarikat gedung pakaian itu dengan curangnya melakukan pecah amanah dengan cara memasukkan cek terbabit ke akaun bank orang berbeza dipercayai bagi kepentingan peribadi.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu sejak 2015 hingga Januari 2019 dengan jumlah keseluruhan pecah amanah dilakukan sebanyak RM70,000.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 14 tahun, sebatan dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili tiga peguam iaitu V Parthipan, T Tamil Salvan dan Shamsher Singh Thind.
Lim mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun kesemua peguam yang mewakili tertuduh meminta jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya hanya berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan selain perlu menjaga suaminya yang menghidap penyakit dimensia.

PENYAMBUT tamu hotel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM70,000. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan dua penjamin bagi kesemua lapan pertuduhan serta menetapkan syarat iaitu perlu menyerah pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.
Kes ditetapkan bagi sebutan semula pada 4 Julai depan bagi serahan dokumen.