View: 282|Reply: 0
|
[Kedah]
Peniaga kecil, pengguna tertekan syarat ketat beli gula
[Copy link]
|
|

AZAMI Awang menunjukkan sepaket gula pasir sahaja yang dibenarkan dibeli semasa berurus niaga di sebuah pasar borong di Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
SUNGAI PETANI: Peniaga kecil dan pengguna di daerah ini mendakwa bekalan gula semakin berkurangan di pasaran sejak kelmarin hingga menjejas perniagaan dan mengganggu aktiviti harian mereka.
Keadaan itu dipercayai berlaku selepas stok gula premium mula memenuhi pasaran serta boleh diperoleh dengan mudah di semua premis perniagaan berbanding gula pasir biasa.
Seorang peniaga makanan di pasar malam, Azami Awang, 51, berkata, kesukaran mendapatkan bekalan gula kasar bersubsidi dengan harga RM2.85 sekilogram (kg) mula menghantui peniaga kecil sepertinya kerana bakal menjejaskan perniagaan.
“Banyak syarat yang ditetapkan pemilik premis perniagaan sama ada di kedai runcit, kedai borong atau pasar raya untuk mendapatkan bekalan gula.
“Antaranya mengehadkan belian satu paket gula sahaja, perlu beli barangan lain sebelum dapat beli bekalan itu dan terbaru perlu membeli gula premium yang berharga RM4.60 sebelum dibenar mendapatkan gula kasar bersaiz 1kg,” katanya ketika ditemui, semalam.
Akhbar ini melaporkan, sebuah premis perniagaan diserbu penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah di Hutan Kampung, Alor Setar gara-gara menjual gula pasir kasar secara bersyarat kepada pelanggannya.
Premis itu mensyaratkan setiap pembelian 2kg gula pasir kasar berharga RM2.85 sebungkus oleh pelanggan perlu diikuti dengan pembelian 1kg gula putih premium yang berharga RM4.60 sebungkus.
Sementara itu, Mohamad Nasaruddin Bakar, 50, berkata, kesukaran memperolehi gula bersubsidi telah menjejaskan perniagaan kedai makan yang diusahakannya di Taman Ria
Jaya, di sini sejak beberapa hari lalu.
“Walaupun saya merupakan pelanggan tetap di sebuah kedai borong di sini, tetapi saya dan beberapa rakan peniaga lain sukar mendapatkan bekalan gula sejak Khamis lalu.
“Setiap seorang daripada kami hanya dibenarkan membeli satu paket gula kasar bersubsidi walaupun berbelanja membeli barangan lain melebihi beratus ringgit,” katanya.
Menurutnya, apa yang menghairankan adalah gula premium mudah didapati dengan banyak dan tiada had pembelian dikenakan.
“Tetapi sebagai peniaga kecil, kami tidak boleh menggunakan gula premium kerana harganya tinggi dan boleh menjejaskan perniagaan,” katanya.
Seorang pengguna, Latipah Abu, 50, berkata, dia terkejut apabila peniaga runcit di beberapa buah premis di Taman Ria Jaya menghadkan belian gula bersubsidi kepada satu paket sahaja setiap orang.
“Sebelum ini kami boleh membeli dua paket gula apabila turut membeli barangan lain di premis itu tetapi sejak kelmarin gula kasar 1kg tiada stok. Bagi mendapatkannya saya terpaksa mencari di pasar raya berdekatan termasuk membeli gula premium yang tinggi harganya,” katanya.
Menurut ibu tunggal kepada empat anak yang tiada pendapatan tetap itu, penggunaan gula premium amat membebankan kerana terlalu mahal berbanding gula bersubsidi. -UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita ... at-ketat-beli-gula/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|