CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 260|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pulau Pinang kaji kos, kesesuaian teknologi penyahgaraman laut jadi sumber air

[Copy link]
Post time 3-6-2023 08:12 PM | Show all posts |Read mode
Pulau Pinang kaji kos, kesesuaian teknologi penyahgaraman laut jadi sumber air


Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Jun 3, 2023 @ 6:24pm  [email protected]




Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. NSTP//MIKAIL ONG




BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan pihak yang mempunyai kepakaran dalam teknologi penghasilan air bersih menggunakan air laut termasuk SIRIM Berhad (SIRIM) sebelum keputusan berhubung pelaksanaan kaedah itu dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk kos.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Chow Kon Yeow, berkata ketika ini desalinasi atau proses nyahmasin air laut sudah disenaraikan dalam Pelan Kontigensi Air Mentah (RWCP 2030) dan akan menjadi pertimbangan akhir bagi berdepan krisis air dalam jangka panjang.

"Kita memang mengalu-alukan khidmat nasihat SIRIM berhubung teknologi penyahgaraman air laut yang dibangunkan institut berkenaan sebagai alternatif sumber air mentah pada masa depan.

"Sememangnya desalinasi menjadi satu kaedah yang disenaraikan, tetapi ia berada dalam senarai paling bawah kerana kita perlu menghabiskan alternatif yang lebih murah termasuk menyiapkan projek yang akan dan sedang dilaksanakan antaranya membabitkan pembinaan beberapa loji rawatan air baharu.

"Bagaimanapun, dengan adanya penambahbaikan teknologi yang akan membawa kos lebih rendah dalam (proses) penyahgaraman air laut, jadi kita pun perlu buat kajian kerana ia berada dalam senarai kita," katanya selepas merasmikan Pusat Penang 2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BH hari ini berhubung kejayaan SIRIM membangunkan teknologi penyahgaraman air laut bagi menghasilkan air bersih menggunakan tenaga solar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata teknologi penyahgaraman air laut boleh mengatasi keperluan mendesak rakyat pada masa depan, terutama jika berlaku perubahan suhu sehingga menyebabkan taburan hujan semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan takungan empangan.

Teknologi menjadikan air laut sebagai air minuman yang selamat di Semenanjung juga lebih mudah dilakukan kerana kandungan garamnya lebih rendah iaitu kurang 10,000 part per million (PPM) berbanding kandungan garam di perairan Sabah dan Sarawak iaitu lebih 35,000 PPM.

Selain keperluan domestik, teknologi penghasilan air bersih daripada air laut itu berpotensi mengatasi keperluan air untuk sektor perindustrian di negeri seperti Johor, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Kon Yeow berkata, pihaknya mengalu-alukan SIRIM memberi khidmat nasihat dalam perkara itu dan akan meneliti jika kosnya mampu ditanggung kerajaan negeri untuk dijadikan alternatif sumber air bersih.

"Kalau nak guna desalinasi maka kita perlu menguruskannya dengan baik sebab jika tidak ia akhirnya akan menambah tarif yang perlu dibayar oleh pengguna," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Semanjung mempunyai bekalan air mentah yang begitu banyak dan tidak seharusnya negeri yang mempunyai lebihan bekalan air mentah membiarkannya mengalir ke laut sedangkan ada negeri yang tertekan untuk mendapatkan air untuk dirawat.

Beliau berkata, Pulau Pinang akan terus mencari peluang berunding dengan Perak berhubung Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dan berpendapat air adalah aset negara dan rakyat yang perlu diurus serta dikongsi bersama.








Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

4-3-2025 07:30 AM GMT+8 , Processed in 0.127856 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list