GEORGETOWN: Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, beliau tidak akan tunduk dengan ugutan diutarakan sindiket haram terhadapnya.
Katanya, ugutan jenayah yang diterimanya daripada sindiket along disifatkan sebagai lumrah yang sentiasa dihadapi polis dalam melaksanakan tugas membanteras kegiatan haram itu.
"Saya mengaku ada menerima ugutan apabila membongkar dan melumpuhkan sindiket jenayah di negeri ini.
"Namun, saya tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram, sebaliknya tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka yang mengugut serta mengancam saya mahupun Polis Kontinjen Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kok Chin berkata, satu kertas siasatan dibuka berhubung ugutan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular satu laporan mendakwa Kok Chin menerima satu surat ugutan jenayah dipercayai daripada sindiket along.
Difahamkan, surat itu mengandungi ugutan berbunyi balai polis akan dibakar sekiranya Kok Chin terus mengambil tindakan terhadap sindiket berkenaan.
Surat itu dicetak dalam bahasa Melayu dan dihantar ke pejabat beliau menerusi hantaran pos pada 1 Jun lalu.
Untuk rekod, Kok Chin memulakan tugas sebagai Ketua Polis Pulau Pinang pada 12 Mei menggantikan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang dilantik Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu.