KUALA LUMPUR: Tiga jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dalam operasi mengesan dalang yang
membuat ugutan terhadap Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin menerusi surat layang, Khamis lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya memandang serius ugutan berkenaan dan operasi sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang mendalanginya.
"PDRM memandang serius perkara ini dan operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
"Siasatan kes ini dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Acryl Sani berkata PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini.
Katanya, PDRM menerima satu laporan polis mengenai sepucuk surat amaran dan ugutan yang dialamatkan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Surat layang itu, menurutnya, dimasukkan di dalam sampul surat, dan diterima pada 1 Jun lalu melalui perkhidmatan Pos Malaysia.
"Pemeriksaan awal terhadap sampul surat yang dikirim itu mendapati terdapat enam keping replika wang kertas 'duit mayat' dan sekeping nota berbentuk amaran agar pihak polis kontinjen Pulau Pinang menghentikan tindakan agresif memerangi sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen di negeri terbabit.
"Selain itu, turut dinyatakan melalui surat layang itu nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang dan akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan," katanya.
Terdahulu, tular satu laporan mendakwa Kok Chin menerima satu surat
ugutan jenayah dipercayai daripada sindiket along.
Sementara itu, Kok Chin menerusi kenyataan, kelmarin berkata, beliau tidak akan tunduk dengan ugutan diutarakan sindiket haram terhadapnya.
Katanya, ugutan jenayah yang diterimanya daripada sindiket along disifatkan sebagai lumrah yang sentiasa dihadapi polis dalam melaksanakan tugas membanteras kegiatan haram itu.