
Seorang lelaki maut manakala anaknya cedera apabila kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Mazra, Jalan Lencong Timur, dekat sini . - Foto NSTP/Ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Bapa maut manakala anak lelakinya cedera ringan apabila kereta dinaiki terbabas sebelum tercampak dan terbalik dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Mazra, Jalan Lencong Timur, dekat sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian jam 7 malam itu membabitkan pemandu dikenali sebagai P Ganesan, berusia 47 tahun yang bekerja sendiri, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Beliau berkata, anak lelakinya berusia sembilan tahun yang menaiki kenderaan sama, mengalami cedera ringan.
Zaidy berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa bergerak dari lorong sebuah kilang sebelum keluar simpang dan membelok ke kanan menghala sebuah kuil.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kereta terbabit dipandu laju dan hilang kawalan apabila mangsa mahu membelok ke kanan ketika keluar simpang.
"Kenderaan dipandu mangsa terbabas ke kiri sebelum melanggar pagar besi penghadang jalan," katanya dalam satu kenyataan media.
Katanya, impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kereta dinaiki dua beranak terbabit tercampak melepasi parit besar sebelum ia terbalik.
"Keadaan itu menyebabkan bumbung hadapan kereta terbabit menindih kepala pemandu dan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi.
"Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala manakala anaknya hanya luka kecil di belakang kepala," katanya.
Zaidy berkata, ketika kejadian cuaca baik serta cerah dan ia berlaku di kawasan simpang empat dengan keadaan lalu lintas yang tidak sibuk.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.