ALOR SETAR: Dua beradik yang ditemukan maut selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kuala Sala di Yan, dekat sini, dikatakan sangat rapat antara satu sama lain.
Perkara itu dimaklumkan rakan yang juga jiran mereka, Mustafa Mat, 62, namun tidak menyangka dua beradik itu iaitu Mohd Faudzi Tajuddin, 48 dan adiknya, Mohd Farizan, 41, akan 'pergi' serentak.
Mengakui mengenali dua beradik itu sejak kecil kerana rumah mereka berjiran, Mustafa berkata dia amat terkejut apabila dimaklumkan dua rakannya itu hilang selepas bot fiber dinaiki mereka dipukul ombak.
"Kali terakhir saya jumpa Faudzi malam tadi sewaktu dia datang ke pelantar ikan, tetapi kami tak sempat berbual...ketika itu dia cuma senyum kepada saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sini.
"Mereka baru kira-kira dua bulan mula turun ke laut dan masing-masing kurang mahir dengan selok-belok di laut, malah bot digunakan itu juga baru dibeli," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kuala Sala, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi tadi, bot dinaiki dua beradik itu karam dipukul ombak di perairan Kuala Sala sebelum masing-masing ditemukan maut petang tadi.
Mustafa berkata, sebelum ini Mohd Faudzi bekerja sebagai tukang rumah, manakala adiknya berniaga di Bukit Mertajam di Pulau Pinang dan baru pulang ke sini untuk tinggal di kampung.
"Saya sempat bertanyakan ibu mereka, Faudzi ni keluar waktu mana dan dimaklumkan dia keluar sebelum jam 3 pagi dan waktu kejadian angin cukup kuat.
"Mereka turun ke laut tiga beradik, tapi seorang lagi adik mereka sempat balik, cuma dua beradik ni tak sempat balik," katanya mengakui dua mangsa itu sangat rajin bekerja dan sering melakukan kerja amal di kampung.
Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Naim Mat Jaffar, berkata mangsa pertama ditemui jam 4.20 petang, disusuli mangsa kedua jam 5.50 petang pada jarak 30 meter di kawasan paya bakau berlumpur di perairan Kuala Sala.
"Terdahulu, bot fiber mereka ditemui pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi mayat kedua-dua beradik itu ditemui.
"Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tali dan pengusung disebabkan lumpur di kawasan itu berikutan paras air laut yang surut," katanya.
Mohd Naim berkata, operasi turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, selain anggota BBP Yan serta bantuan aset bot dari BBP Pendang dan Tikam Batu.