|
HARUKI menduduki tempat kedua kategori ASB1000cc.
Kuala Lumpur: Barisan pelumba negara merasai pemergian pelumba muda Jepun, Haruki Noguchi yang disahkan meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan pada Perlumbaan 2, Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARCC), Ahad lalu di Litar Antarabangsa Manadalika, Indonesia.
Bagi pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman, dia mengganggap Noguchi pelumba berbakat meskipun kedua-dua mereka adalah musut ketat ketika di atas litar dalam kelas Asia Superbike (ASB1000).
"Saya sedih kerana rasa kehilangan seorang pelumba berbakat seperti Noguchi. Dia (Noguchi) seorang pelumba yang laju dalam litar dan juga musuh ketat saya di atas litar.
"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Noguchi atas insiden itu," kata Azlan ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi sukar menerima pemergian pelumba pasukan SDG MS Harc-Pro.Honda.Ph. berusia 22 tahun itu.
"Saya tiada kata-kata untuk diungkapkan. Saya sangat sedih apabila ini berlaku kepada kita. Anda pelumba berbakat dengan semangat yang kuat dan anda adalah pesaing utama pernah saya hadapi.
"Setiap kali berlumba, anda tahu anda akan memenangi perlumbaan walaupun sebelum melepasi garisan penamat. Saya bangga dan gembira dapat berlumba bersama anda dan saya akan merindui persaingan antara kami di litar. Kenangan dengan anda tidak akan saya lupakan," katanya di Instagram.
Terdahulu FIM Asia dalam satu kenyataan berkata, Noguchi meninggal dunia selepas tiga hari dirawat secara intensif di Hospital Awam Nusa Tenggara Barat.
"Semasa Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM 2023 yang diadakan di Litar Antarabangsa Mandalika, Noguchi cedera parah berikutan insiden di selekoh 10, Pusingan 4 kategori Asia Superbike 1000cc.
"Penunggang berusia 22 tahun itu segera menerima rawatan di Pusat Perubatan litar sebelum dipindahkan ke hospital. Di sebalik usaha sehabis baik dilakukan kakitangan perubatan, Haruki meninggal dunia akibat kecederaannya pada 16 Ogos 2023 jam 5.40 petang," katanya.
Haruki disebut-sebut sebagai pelumba berbakat besar dan ketika ini menduduki tempat kedua kategori ASB1000cc dengan mengumpul keseluruhan 113 mata di belakang pelumba Jerman, Markus Reiterberger yang mengumpul 155.5 mata.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... a-kehilangan-haruki |
|