CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4181|Reply: 1

Sisa buangan sawit hasilkan kertas

[Copy link]
Post time 14-1-2011 10:13 AM | Show all posts |Read mode
Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
[email protected]
Gambar AMIN FARIJ HASSAN


Penyelidik FRIm, Dr.  Rushdan Ibrahim menguji pelbagai sumber hutan  untuk menghasilkan kertas seperti buluh, pokok kenaf serta EFB.



SAYANGILAH Hutan Kita'. Pasti ramai antara kita memahami slogan yang menyeru agar kita sentiasa 'mempertahankan' khazanah negara yang tidak ternilai harganya.
Namun slogan tersebut hanya tinggal slogan. Persoalannya kini apakah jalan yang sesuai untuk melindungi hutan yang kita miliki tanpa menjejaskan kerancakan pembangunan ekonomi negara.

Penerokaan serta penebangan hutan yang tidak terkawal berlaku berikutan permintaan terhadap sumber perkayuan yang amat tinggi dari dalam serta luar negara.

Malah, hutan merupakan sumber utama dalam industri berasaskan kayu seperti penghasilan pulpa dan kertas.

Justeru apakah cara terbaik untuk menyelamatkan hutan kita tanpa perlu menyekat perkembangan industri penghasilan pulpa dan kertas?

Tahukah anda hampir 57,000 tan kertas memenuhi 456,000 meter persegi kawasan pelupusan sampah di seluruh negara?

Jumlah tersebut bersamaan dengan penggunaan hampir 680,000 pokok pada saiz yang boleh dipasarkan.

Lebih menyedihkan ia dibuang begitu sahaja, malah kadar perolehan semula kertas di negara ini hanya 40 peratus daripada pengeluaran dan penggunaannya.

Ini menunjukkan dalam 10 set surat khabar yang dijual, hanya empat set dihantar ke pusat kitar semula untuk dijadikan kertas baru.

Statistik tersebut menunjukkan daripada 250,000 tan surat khabar yang dihasilkan setahun hanya 100,000 tan kertas sahaja berjaya di kitar semula.

Selebihnya akan berakhir di kawasan pembuangan sampah. Jumlah kertas yang dibuang tersebut adalah bersamaan 2.55 juta batang pokok.

Menyedari situasi tersebut perlu dikawal sebelum hutan di negara ini pupus, sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berusaha mencari bahan alternatif untuk menghasilkan kertas.

Usaha tersebut selar dengan konsep waste to wealth (menukar sisa buangan kepada produk bernilai) yang ditekankan kerajaan pada masa ini.

Menurut salah seorang penyelidik Program Pulpa dan Kertas, Jabatan Produk Hutan, Institut Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Rushdan Ibrahim, pelbagai sumber hutan lain telah diuji untuk menghasilkan kertas seperti buluh, pokok kenaf serta tandan kosong kelapa sawit (EFB) .

"Antara bahan-bahan tersebut, tandan kosong sawit merupakan antara alternatif yang paling sesuai digunakan untuk menggantikan kayu.

"Malah, sumber untuk mendapatkannya (tandan sawit) juga mudah dan murah," ujar beliau ketika ditemui di FRIM, Kepong baru-baru ini.

Selain itu, penggunaan EFB untuk dijadikan kertas juga merupakan salah satu jalan penyelesaian terhadap masalah lambakan sisa buangan di sektor perindustrian minyak kelapa sawit.

"Semua orang tahu, kelapa sawit merupakan tanaman pertanian terbesar di negara ini. Justeru penggunaan kelapa sawit untuk menghasilkan minyak secara besar-besaran pasti meninggalkan sisa tandan kosong yang banyak," katanya.

Malah, hanya 10 peratus sahaja minyak dapat dihasilkan, manakala 90 peratus lagi merupakan sisa pertanian yang dikenali sebagai biomas.

Sesetengah sisa tersebut dijadikan makanan haiwan siap diproses namun selebihnya akan dibuang begitu sahaja.

Jelas Dr. Rushdan, EFB memiliki jumlah fiber yang tinggi dan pelbagai produk boleh dihasilkan melaluinya.

Sebagai contoh, ia boleh menghasilkan produk seperti pulpa untuk penghasilan barangan berasaskan kertas, papan serpai (MDF), bantal dan tilam (bahagian fiber menggantikan kapas) serta bekas makanan mesra alam.

Di negara ini, potensi untuk menghasilkan kertas daripada EFB adalah tinggi berikutan bahan mentah tersebut mudah diperoleh dalam kuantiti yang banyak.

Ia berikutan EFB tidak digunakan setelah buah sawit diasingkan.

Menurut Dr. Rushdan, kumpulannya mengambil masa selama tiga tahun untuk menemui kaedah yang betul bagi mengurai fiber dalam EFB tersebut.

Antara kaedah yang digunakan adalah menghancurkan tandan kosong menggunakan shreder atau mesin pengisar kayu untuk menukarkannya kepada bentuk fiber yang lebih halus.

Kemudian ia direndam bersama larutan sodium sulfat untuk melembutkan fiber tersebut agar mudah diurai bagi memisahkan kandungan lignin yang terdapat di dalamnya sebelum seterusnya ia di proses untuk dijadikan pulpa.

Kandungan lignin merupakan sejenis bahan kimia yang berada di dalam parenkima (urat kayu atau fiber) yang dihasilkan dalam proses tumbesaran pokok semasa hayatnya.

Ia merupakan antara bahan kimia yang bertanggungjawab memberikan warna coklat keperangan terhadap kayu.

Selain itu, ia juga bersifat seperti perekat menjadikan dinding sel tumbuhan keras dan sukar untuk diuraikan, sekali gus memberikan kekuatan kepada batang pokok.

Di dalam kayu, terdapat tiga unsur utama iaitu, selulosa, lignin dan air.

Untuk menghasilkan kertas, lignin perlu dibuang agar fiber kayu mudah diuraikan untuk dijadikan pulpa.

Pada peringkat tersebut, kertas sudah boleh dihasilkan. Namun keadaannya masih tidak sempurna selain warna kertas tersebut masih kekal seperti warna asal tandan iaitu perang kecoklatan.

Justeru, untuk mendapatkan kertas berwarna putih, fiber yang telah diproses menjadi pulpa akan dibasuh (bleach) menggunakan bahan kimia tertentu.

Setelah berjaya 'diputihkan', kekuatan kertas tersebut akan diuji bagi menentukan tahap kesesuaian serta kualiti sebelum digunakan.

Kejayaan penyelidikan FRIM tersebut telah mendorong beberapa buah kilang di Sabah membangunkan teknologi memproses tandan sawit seperti di Tawau, Sabah.

Tambah Dr. Rushdan, pihaknya juga masih meneliti dan menjalankan pelbagai kajian bagi mendapatkan kaedah terbaik dalam menghasilkan kertas yang berkualiti tinggi daripada tandan sawit.

SUMBER UTUSAN


KOMEN: Bagus penyelidikan ni.....memaksimumkan pengeluaran kertas dr bhn utama eksport Malaysia
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-1-2011 04:36 PM | Show all posts
actually, dah lama projek ni...thn 2003 i think ada sorang penyelidik from USm dah hadilkan kertas from EFB dan masuk pertandingan i-TEch
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 10:01 AM GMT+8 , Processed in 0.043567 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list