|
Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pematuhan operasi TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti diperbetul segera.
Perkara itu ditegaskan pada pertemuan dengan pengurusan tertinggi TikTok diketuai oleh Naib Presiden Global TikTok Helena Lersch, semalam.
Selain itu, TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia, TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform itu, termasuk penularan yang bersifat Coordinated Inauthentic Behaviour (CIB).
Foto: Twitter
"ihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini," katanya dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Fahmi berkata, pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu di platform media sosial tersebut serta operasi TikTok Shop di Malaysia.
Pada masa sama, Fahmi berkata, TikTok juga diingatkan supaya mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit.
Katanya, kerajaan tegas dalam hal itu berikutan ada aduan daripada gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan oleh iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial berkenaan.
"TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Sehubungan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera bagi menyelesaikan isu-isu ini," katanya.
Pada Sabtu lalu, Fahmi dilaporkan berkata, kementeriannya akan memanggil pengendali aplikasi TikTok bagi memberi penjelasan berhubung beberapa isu berkaitan iklan dan kandungan di platform terbabit. -CARI
Sumber: Harian Metro |
|