|
ABDUL Majid dilanggar lari selepas menunaikan solat subuh di masjid, hari ini. FOTO Ihsan Masjid Imam Tirmizi.
Kuala Lumpur: "Sudah jadi rutin harian ayah menunaikan solat di masjid dan dia memang suka kayuh basikal.
"Apabila dapat tahu ayah dilanggar, saya sangat terkejut tapi pada masa sama bersyukur tiada kehilangan nyawa," kata Noraizi Abdul Majid, 43, mengenai kejadian langgar lari menimpa bapanya di hadapan Masjid Imam Tirmizi, Taman Seri Sentosa di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, Abdul Majid Ali Ismail, 80, yang menunggang basikal dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi ketika sedang melintas jalan.
Kejadian itu mengakibatkan Abdul Majid patah kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.
Menurut Noraizi, dia menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak masjid.
"Saya yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran bergegas ke masjid untuk melihat keadaan ayah. Ketika itu ayah terbaring di atas jalan dan beberapa jemaah membantu mengalihkan ayah ke pondok pengawal masjid.
"Saya diberitahu pemandu kereta larikan diri tapi kejadian dapat dirakam kamera litar tertutup (CCTV)," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Noraizi berkata, adik iparnya sudah membuat laporan berhubung kejadian dan berharap pemandu yang menyebabkan kemalangan itu berjaya dikesan.
Sementara itu, imam masjid, Abdul Latif Ismail berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian sebaik dihubungi pengerusi masjid pada pagi itu.
"Berdasarkan rakaman CCTV, Pak Majid dilihat sedang melintas jalan untuk masuk pintu pagar utama masjid sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi.
"Rempuhan itu menyebabkan Pak Majid terjatuh. Beberapa jemaah masjid yang berada di lokasi dan melihat kejadian segera membantu Pak Majid," katanya.
Berikutan kejadian, Abdul Latif berkata, beberapa anggota polis sudah hadir ke lokasi kejadian dan mengambil rakaman CCTV bagi membantu siasatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... r-pak-majid-selamat |
|