View: 3490|Reply: 0
|
Gol Haaland lonjak City
[Copy link]
|
|
Penyerang Manchester City, Erling Haaland menjaringkan gol tunggal kemenangan ketika mengalahkan Brentford 1-0 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
MANCHESTER, England: Erling Haaland menepis sebarang persoalan mengenai sentuhan jaringannya awal pagi tadi, menyumbat gol tunggal Manchester City ketika menang 1-0 ke atas Brentford yang melonjak mereka ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya satu mata di belakang pendahulu Liverpool.
Pasukan kendalian Pep Guardiola, tidak kalah dalam 10 perlawanan terakhir liga, mengumpul 56 mata, satu mata di depan Arsenal dalam perebutan kejuaraan yang kelihatan semakin sengit.
Brentford berada lima mata di atas zon penyingkiran di tangga ke-14.
Haaland, yang menolak ke tepi kamera televisyen selepas kecewa gagal menjaringkan gol dengan sembilan percubaan ketika seri 1-1 dengan Chelsea tiga hari lalu, kembali berada di puncak prestasi apabila menokok gol dalam liga kepada 17 jaringan.
Penyerang Norway itu memecah kebuntuan pada minit ke-71 apabila dia meluru untuk menyambut lorongan cantik Julian Alvarez kemudian merembat melepasi Kristoffer Ajer yang terjatuh sebelum mengatasi penjaga gol Mark Flekken.
Penyerang Manchester City, Erling Haaland (tiga dari kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan ketika berdepan Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Haaland kini sudah menjaringkan gol berdepan setiap kelab EPL yang ditemuinya. Dia masih belum bermain menentang Luton Town.
"Ia tidak mudah. Kami menjaringkan gol menerusi serangan balas," kata pertahanan City, Manuel Akanji kepada Sky Sports.
"Pemain pertahanan terjatuh awal dan keberkesanan di sana oleh Haaland. Dia menjaringkan satu gol hebat.
"Kami sedar betapa sukarnya bermain menentang Brentford, dengan lima pemain pertahanan. Itulah sebabnya kami cuba menyerang dan kami tidak banyak berdepan serangan balas lawan. Saya tidak ingat banyak peluang dicipta mereka.
"Selepas hujung minggu kami terpaksa bertindak balas dan saya berasa kami melakukannya. Kini kami perlu meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan."
Pemain muda Manchester City, Oscar Bobb (kanan) berebut bola dengan pemain Brentford, Mads Roerslev pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad, Manchester awal pagi tadi. – Foto REUTERS
Satu lagi percubaan Haaland pada lewat perlawanan dibatalkan kerana Kyle Walker berada dalam keadaan ofsaid ketika gerakan serangan.
Chelsea mengecewakan City Sabtu lalu dan ia kelihatan hampir sama awal pagi tadi – kecuali gol Haaland – dengan City melakukan 25 percubaan, 11 tepat ke sasaran berbanding Brentford dua, manakala Flekken mempamerkan persembahan memukau di pintu gol pelawat.
Oscar Bobb, yang melakukan penampilan sulung dalam kesebelasan utama EPL, mencipta satu lagi peluang terbaik City, menggelecek Christian Norgaard sebelum melakukan rembatan yang menyaksikan pertahanan Ben Mee bertindak pantas menyelamatkan bola di atas garisan gol.
Brentford terlepas peluang besar lebih awal apabila Frank Onyeka menyambut hantaran Yoane Wissa tetapi percubaannya tepat ke arah penjaga gol Ederson. – REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... haaland-lonjak-city |
|
|
|
|
|
|
| |
|