|
Pemain Arsenal, Emile Smith Rowe (kanan) terbabit dalam kedua-dua gol Arsenal ketika menentang Luton Town di Stadium Emirates, London. - Foto REUTERS
LONDON: Mikel Arteta memuji barisan pemainnya yang melonjak Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 2-0 ke atas Luton Town.
Penyerang Reiss Nelson membuat penampilan liga pertama musim ini, Emile Smith Rowe yang ketiga dan pemain tengah, Thomas Partey berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak Ogos.
Dengan Declan Rice, Jorginho dan Gabriel Jesus bermula di bangku simpanan serta Bukayo Saka tidak tersenarai dalam skuad, Arsenal masih mampu menampilkan persembahan meyakinkan.
Smith Rowe paling menonjol, terbabit dalam kedua-dua gol, manakala Partey cepat menyesuaikan diri.
"Saya lihat pemain-pemain saya dan skuad ini dengan pandangan berbeza. Saya gembira mereka semua cergas.
"Jika mahu memanfaatkan skuad dan menggunakan kesemua sumber yang ada, mereka perlu bermain. Saya rasa mereka melakukannya dengan baik.
"Saya rasa kami menang sekali lagi dengan penuh keyakinan dan mereka sangat penting buat kami," kata Arteta.
Arteta melakukan lima pertukaran ke atas skuad yang mengikat Manchester City 0-0 pada Ahad, tetapi Rice dan Gabriel Martinelli dimasukkan kemudian.
Arsenal akan dipintas semula Liverpool sekiranya anak buah Jurgen Klopp menewaskan Sheffield United malam ini. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan ... percaturan-berhasil |
|