|
PALMER berjaya meledak hatrik termasuk dua gol pada minit akhir perlawanan untuk membantu Chelsea menewaskan United awal pagi semalam. - AFP
LONDON – Aksi ‘gila’ disajikan Chelsea dan Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam yang menyaksikan The Blues mencatat kemenangan 4-3.
Pada perlawanan itu, Chelsea terlebih dahulu mendahului 2-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan Conor Gallagher dan Cole Palmer sebelum United bangkit meledak tiga gol hasil dua jaringan Alejandro Garnacho dan satu gol Bruno Fernandes selepas waktu rehat.
Bagaimanapun, ketika United sudah berkira-kira untuk meraikan kemenangan, pasukan tuan rumah mencipta magis apabila meledak dua gol dalam tempoh seminit menerusi Palmer, sekali gus menyaksikan dia merekodkan hatrik.
“Satu perlawanan yang sangat gila. Ketika kami menjaringkan gol penyamaan, saya memasang tekad untuk cuba mendapatkan kemenangan. Ketika menjaringkan gol keempat, saya hanya berlari dan tidak tahu apa yang mahu diungkapkan.
“Saya juga sangat gembira kerana berjaya menjaringkan hatrik pertama dalam karier. Memang benar saya menjaringkan beberapa penalti musim ini, namun apa yang paling penting adalah saya tidak pernah mensia-siakannya,” kata Palmer.
Menerusi kemenangan itu, Chelsea kini berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dan menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya dalam kelompok tujuh teratas sekiranya menang kesemua baki sembilan perlawanan.
Sementara itu, Palmer turut berterima kasih kepada pengurus, Mauricio Pochettino yang dianggap memainkan peranan cukup penting pada perlawanan tersebut, terutamanya ketika memberi semangat kepada pemain-pemain.
“Beliau sentiasa cuba memberikan keyakinan kepada semua pemain seperti dilakukan hari ini (semalam). Saya harap keputusan ini mampu menjadi permulaan untuk kami meneruskan rentak kemenangan,” ujarnya. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... mer-julang-chelsea/ |
|