View: 2348|Reply: 0
|
Harimau Malaya sukar elak kejatuhan ranking
[Copy link]
|
|
HARIMAU Malaya berada di kedudukan ke-138 berbanding Indonesia yang berjaya memintas pencapaian untuk menghuni ranking ke-134 ketika ini.
PEMINAT skuad Harimau Malaya tidak perlu panik dengan situasi semasa pasukan kebangsaan meskipun ranking dunia telah menjunam enam anak tangga di kedudukan ke-138 sekali gus berada di No. 4 Asia Tenggara ketika ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi mengakui perkembangan tersebut bukanlah sesuatu yang menggembirakan, tetapi dalam masa sama sukar untuk dielakkan.
Mohd. Yusoff yang juga bekas pengurus skuad kebangsaan berkata, apa yang dialami oleh pasukan bimbingan Kim Pan-gon adalah proses yang biasa memandangkan Harimau Malaya kini mencabar negara-negara hebat rantau Asia.
“Saya fikir kita masih belum perlu panik dengan kedudukan semasa, tetapi sudah tentu FAM tidak gembira apabila melihat ranking (terus menjunam). Namun, ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.
“Mungkin dulu kita naik ranking (dengan mendadak) apabila bertemu pasukan yang mudah, tetapi sekarang kita sudah di peringkat Asia dan menentang negara-negara yang lebih hebat.
“Sampai satu peringkat kita akan lalui proses ini dan saya percaya Jawatankuasa Skuad Kebangsaaan FAM dan barisan kejurulatihan memandang serius dalam usaha perbaiki keputusan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui Kosmo!
Sebagai rekod, prestasi Harimau Malaya ketika ini jatuh mendadak apabila gagal meraih sebarang kemenangan pada tahun 2024 selepas merekodkan satu keputusan seri dan empat kekalahan.
Momentum tersebut jauh tersasar berbanding pada tahun lalu yang mana skuad negara hanya tewas satu kali di pentas antarabangsa ketika dikecewakan Tajikistan pada final Pestabola Merdeka.
Lebih malang, skuad negara kini dipintas seteru tradisi, Indonesia yang dilihat lebih cemerlang di bawah kendalian pengendali dari Korea, Shin Tae-yong di kedudukan 134 dunia.
Sementara itu, Thailand kekal dengan status ‘raja’ Asia Tenggara di No. 101 dunia disusuli Vietnam di tempat ke-115.
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... -kejatuhan-ranking/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|