|
AHMAD Hadif Ilman bersama bapanya, Abdul Azim. Gambar kanan, tangkap layar video tular kesungguhan Hadif memberi sumbangan kepada pekerja syarikat pembersihan Alam Flora. FOTO Ihsan Abdul Azim Abu Ziden
Putrajaya: Umur Ahmad Hadif Ilman baru enam tahun namun mempunyai empati yang tinggi kerana sudah ada keinginan membantu golongan kurang bernasib baik.
Buktinya dapat dilihat menerusi perkongsian video bapanya, Abdul Azim Abu Ziden, 41, di TikTok yang menceritakan kesungguhan anak bongsu mesra disapa Hadif itu memberi sumbangan kepada pekerja syarikat pembersihan Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora).
Berkongsi kisah itu, Abdul Azim berkata, sejak Jumaat lalu, Hadif sudah meluahkan keinginannya untuk bersedekah kepada orang miskin.
Menurutnya, Hadif nampak bersungguh kerana memasukkan duit daripada tabung simpanannya ke dalam sampul selain mengisi biskut dalam bekas yang ada di rumah untuk diberikan kepada golongan berkenaan.
"Waktu sahur, Hadif bisik kepada saya untuk ingatkan supaya jangan lupa cari orang fakir miskin.
"Bagaimanapun, di kawasan rumah saya ini agak susah nak cari golongan berkenaan dan kebetulan Sabtu lalu, lori Alam Flora masuk untuk kutip sampah.
"Jadi, saya beritahu Hadif yang pekerja pembersihan pun orang yang kita boleh bantu dan beri sedekah juga.
"Dia nampak teruja waktu nak tunggu lori datang dan melihat semangatnya, saya bantu bungkus bungkusan berisi biskut raya dan sepeket kurma selain beri sedikit sumbangan duit untuk sampaikan hajat anak," katanya.
AHMAD Hadif Ilman menyerahkan sumbangan biskut raya dan duit raya kepada pekerja pembersihan Alam Flora. FOTO Ihsan Abdul Azim Abu Ziden
Abdul Azim berkata, dia dan isteri, Salmah Salleh, 43, sempat merakam secara spontan video Hadif bersama pekerja syarikat pembersihan.
Katanya, video itu dimuat naik di TikTok untuk disimpan sebagai kenangan dan tidak menyangka ia akan tular hingga meraih lebih 347,000 tontonan memandangkan bukan seorang yang aktif di platform berkenaan.
"Tak berhajat pun nak video itu tular atau sampai jadi tontonan umum namun ramai pula suka dan beri komen positif.
"Alhamdulillah dan sebagai bapa, saya beri kredit kepada guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) kerana waktu Ramadan ini mungkin cikgu selalu sebut mengenai sedekah.
"Itu yang Hadif belajar di sekolah jadi bila anak buat maka kredit besar kepada guru kerana kita tahu anak kecil mudah didorong.
"Lagipun, saya pun nampak Hadif gembira apabila dapat kongsi rezeki dan diharap keseronokan serta nikmat bersedekah itu dibawa sampai dewasa kerana saya pun pesan padanya yang tak perlu tunggu jadi senang atau orang kaya untuk bersedekah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... isi-duit-raya-hadif |
|